Terkini
(VIDEO) Masihkah ada ruang untuk pelarian Rohingya di Malaysia?
KUALA LUMPUR — Pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari penindasan dan kekejaman junta Myanmar yang kini berada di Malaysia masih mempunyai ‘ruang’ untuk dibantu walaupun mereka berdepan pelbagai kerumitan, termasuk sentimen kebencian masyarakat tempatan dan status mereka tidak diiktiraf sebagai pelarian sebaliknya dianggap sebagai pendatang tanpa izin (PATI).
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini kerana perkara berkenaan berkait tentang bagaimana negara ini ingin merangka satu dasar yang baik dan betul-betul menunjukkan Malaysia mempunyai “moral ground” (prinsip moral) untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan.
Mohd Azmi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata perkara itu membezakan Malaysia dengan negara lain, termasuk beberapa negara Arab dan Barat, yang didakwa tidak mempunyai “moral ground” dan mengamalkan double standard.
“Malaysia ni genuine (ikhlas dalam menangani isu ini) tapi oleh kerana kerumitan dalaman kita pun ada, kita pun mengambil jalan yang paling bijaklah mengambil kira kepentingan kita, kemanusiaan dan juga ihsan kita kepada mereka.
“Kompleksiti ada, tidak boleh dinafikan… Dia sangat kompleks kerana kita mempunyai sekarang ini sistem yang terpaksa akur kepada sentimen orang ramai yang kena ada proses konsultasi, tukar pendapat, ada debat dalam Parlimen itu jadi kompleks.
“Tetapi masih lagi saya meletakkan kepercayaan ada jalan keluarnya… Jalan keluarnya tidak semesti ratifikasi (Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 ) walaupun saya sangat mengharapkan ada ratifikasi konvensyen.
“Tetapi kalau kita lihat ASEAN sebagai komuniti yang agak baik untuk dirancang dan diatur… Saya kira kita ada kekuatan kita sendiri untuk mencari penyelesaian kepada isu ni,” kata Cikgu Azmi dalam podcast Garis Krisis (GK) yang bersiaran di Youtube The Merdeka Times pada Sabtu jam 8.30 malam.
Episod keempat GK terbitan Studio Merdeka itu mengupas topik, “Masihkah ada ruang untuk pelarian Rohingya di Malaysia?”, turut menampilkan Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Fadhil Osman sebagai panelis dan dihoskan oleh wartawan & aktivis kemanusiaan, Syed Azwan Syed Ali.
Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.
Dalam isu sebegini, Cikgu Azmi berkata Thailand misalnya telah menerima dan berdepan dengan isu pelarian daripada pelbagai negara, termasuk Uighur, Rohingya dan Kemboja, manakala Malaysia juga menerima pelarian dari pelbagai latar belakang, khususnya dari dunia Arab.
“Jadi kerumitan kita (untuk membantu pelarian) itu kita faham tinggal lagi yang harus kita lakukan ialah sekarang saya mencadangkan penyelesaiannya ialah Malaysia mengikuti perkembangan dunia terhadap isu pelarian yang sekarang ini sudah mencecah sekitar 300 juta lebih pelarian di seluruh dunia dan mereka itu melimpah ke mana-manakan? Dan trend-nya akan bertambah apatah lagi kalau krisis mulai tak terkawal trend-nya akan bertambah,” kata Cikgu Azmi. — The Merdeka Times