Connect with us

Terkini

Malaysia digesa bebaskan pelarian Rohingya, benarkan mereka bekerja – MERHROM

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani
  • Kerajaan Malaysia, Thailand dan India dirayu supaya membebaskan semua pelarian dan pemohon suaka Rohingya dari kem tahanan dan penjara, selain membenarkan mereka tinggal dan bekerja untuk memenuhi keperluan harian sehingga genosid di Myanmar berakhir.
  • Itu antara rayuan disuarakan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani yang turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, untuk menamatkan genosid ke atas Rohingya, menghentikan kekejaman berlaku serta mengembalikan demokrasi di Myanmar.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Malaysia, Thailand dan India dirayu supaya membebaskan semua pelarian dan pemohon suaka Rohingya dari kem tahanan dan penjara, selain membenarkan mereka tinggal dan bekerja untuk memenuhi keperluan harian sehingga genosid di Myanmar berakhir.

Itu antara rayuan disuarakan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani yang turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, untuk menamatkan genosid ke atas Rohingya, menghentikan kekejaman berlaku serta mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Menurut Zafar, situasi di Negeri Rakhine dan seluruh Myanmar telah memaksa rakyat Myanmar melarikan diri dari negara itu sehingga ke hari ini di mana ia bukan sahaja memberi kesan kepada etnik Rohingya, tetapi juga kepada semua etnik di Myanmar.

Tambahnya, dalam situasi sekarang bukan hanya masyarakat Rohingya yang melarikan diri ke negara jiran, tetapi kumpulan etnik lain juga turut berbuat demikian.

“Bagaimanakah kita boleh mengharapkan untuk memajukan kerjasama ke arah kelestarian, sedangkan jenayah genosid dan kekejaman ke atas etnik Rohingya masih berterusan di ASEAN yang turut memberi kesan kepada negara-negara anggotanya serta seluruh dunia?

“Genosid ke atas etnik Rohingya telah mengakibatkan ratusan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak etnik ini dibunuh, dirogol, diseksa, dipenjarakan, diperdagangkan dan dieksploitasi selama bertahun-tahun, yang menyebabkan kematian dan penyeksaan oleh sindiket pemerdagangan manusia di negara-negara jiran.

“Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan perlindungan Rohingya, khususnya wanita dan kanak-kanak?

“Tiada apa yang berubah walaupun ribuan laporan telah diterbitkan, ribuan testimoni daripada mangsa yang terselamat daripada genosid telah direkodkan, dan ribuan lawatan telah dibuat ke kem pelarian terbesar di dunia,” kata Zafar menerusi kenyataan berbahasa Inggeris di Facebook pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok tersebut bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Sementara itu, Zafar berkata MERHROM turut meminta Pengerusi ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN supaya menilai semula hubungan mereka dengan Myanmar serta mempersoalkan sama ada adalah beretika untuk meneruskan urusan perniagaan dengan sebuah negara yang telah melakukan jenayah genosid terhadap satu kaum minoriti.

“Kita telah sampai ke satu tahap di mana kita seakan-akan kebal dengan jenayah terhadap kemanusiaan… Kita telah membiarkan kekejaman ini berlaku di depan mata kita selama berdekad-dekad.

“Setiap hari kita menyaksikan masyarakat Rohingya mati tanpa sebarang keadilan diberikan kepada mangsa, dan tanpa tindakan diambil terhadap pelaku jenayah tersebut… Kita masih berada dalam keadaan penafian sehinggalah kita menghentikan genosid dan kekejaman di Myanmar serta mengembalikan sistem demokrasi di negara itu.

“Sekali lagi, kami merayu kepada Pengerusi ASEAN dan negara anggota supaya segera mengambil langkah sewajarnya untuk menamatkan serangan genosid terhadap baki minoriti Rohingya di Negeri Rakhine.

“Kami benar-benar memerlukan suara dan kepimpinan anda untuk menamatkan genosid ke atas Rohingya supaya kami boleh pulang ke tanah air,” kata Zafar.

Di bawah “Citizenship Law 1982” Myanmar, Rohingya tidak diiktiraf sebagai satu daripada 135 kumpulan etnik di negara itu walaupun ia asalnya diiktiraf sebagai warga negara ketika Myanmar merdeka pada 1948.— The Merdeka Times

Author