Antarabangsa
Islamofobia: Muslim di AS lima kali lebih tinggi alami gangguan polis – kajian
Orang Islam di Amerika Syarikat (AS) lima kali lebih berkemungkinan alami gangguan polis disebabkan faktor agama berbanding individu lain, demikian kajian Rice University.

- Kajian oleh Rice University mendapati orang Islam lima kali lebih berkemungkinan alami gangguan polis disebabkan faktor agama mereka.
- Seorang Muslim yang dikenalpasti sebagai kulit putih pula kurang berkemungkinan diganggu polis.
- Ramai Muslim di AS tidak lagi mempercayai polis disebabkan pengawasan pihak berkuasa ke atas mereka selepas peristiwa 9/11.
Orang Islam di Amerika Syarikat (AS) lima kali lebih berkemungkinan alami gangguan polis disebabkan faktor agama berbanding individu lain, demikian kajian Rice University.
Untuk memahami mendalam situasi itu, seorang dewasa beragama Islam yang dikenalpasti sebagai berkulit hitam, dari Timur Tengah, Arab atau Afrika Utara, lebih berkemungkinan diganggu polis kerana agama berbanding seorang Muslim berkulit putih, menurut kajian ‘Society for the Study of Social Problems’ itu.
“Kita harus ingat bahawa kadar keseluruhan dalam kalangan orang dewasa di AS dianggarkan 3.8 peratus, jadi individu Islam adalah kira-kira lima kali lebih berkemungkinan untuk melaporkan mereka diganggu polis atas faktor agama,” kata laporan itu.
Data kajian ini dari komponen tinjauan Pengalaman dengan Kajian Diskriminasi Agama (ERDS) 2019 yang merupakan sebuah projek mengkaji pengalaman individu berkenaan permusuhan interpersonal, diskriminasi dan penganiayaan kerana agama.
Hubungan antara masyarakat Islam dan polis di AS sentiasa tegang. Biarpun masyarakat memerlukan perlindungan dari polis ketika mengalami gangguan, ramai orang Islam tidak lagi mempercayai polis disebabkan pengawasan pihak berkuasa itu pasca peristiwa 9/11.
Julai lalu, Rangkaian Tindakan Arab Amerika (AAAN) memperoleh 235 “Laporan Aktiviti Mencurigakan” (SAR) melalui Akta Kebebasan Maklumat.
Laporan itu dibuat antara 2016 hingga 2020 oleh Jabatan Polis Chicago dan Polis Negeri Illinois.
Dalam laporan itu, mereka mendapati lebih 50 peratus “suspek-suspek” yang dilaporkan kepada polis, terutamanya atas sebab melakukan perkara biasa (bukan jenayah) seperti menghantar mesej atau mengambil gambar, digambarkan sebagai orang berketurunan Arab di Chicago.
“Persekitaran geopolitik selepas peristiwa 9/11 telah mewujudkan hubungan tegang antara penguatkuasaan undang-undang dan komuniti Muslim di Amerika. Ramai orang Muslim di Amerika takut dengan pengawasan polis yang dibenarkan kerajaan melalui tindakan seperti pemantauan dalam talian, keselamatan lapangan terbang, sekatan rutin atau pemantauan dalam ruang agama (tempat ibadat),” kata kajian Rice University.
Kajian juga mendapati individu yang dikenalpasti dari keturunan ‘Mena’ (Timur Tengah dan Afrika Utara) pula lebih cenderung mengatakan mereka pernah mengalami gangguan polis disebabkan agama mereka.
Lebih 35 peratus individu dari kumpulan ini, tanpa mengira agama masing-masing pernah mengalami gangguan sedemikian iaitu hampir 10 kali peratusan yang dilihat dalam kalangan orang dewasa AS secara keseluruhan.
Bagi dewasa Muslim yang dikenalipasti sebagai kulit putih pula, hampir tiada insiden gangguan polis atas faktor agama dilaporkan.
Namun lebih 23 peratus Muslim berkulit hitam mengalami gangguan polis disebabkan agama. Peratusan itu meningkat kepada hampir 40 peratus dalam kalangan orang dewasa Islam yang mengenal pasti bangsa atau etnik mereka yang berketurunan ‘Mena’.
Sumber: Middle East Eye
