Antarabangsa
Perdana Menteri Hungary keluar kenyataan anti-Islam beri amaran tamadun Islam sedang berkembang di Eropah
Sebuah organisasi terbesar yang memperjuangkan hak orang Islam, Council on American-Islamic Relations (CAIR) menggesa Conservative Political Action Conference (CPAC) untuk mengeluarkan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dari senarai jurucakap bagi sebuah acaranya yang bakal berlangsung di Texas.

- Organisasi pro-Islam Amerika Syarikat, CAIR menggesa Conservative Political Action Conference CPAC untuk mengeluarkan perdana menteri Hungary, Viktor Orban daripada senarai jurucakap di acara yang dianjurkannya.
- Gesaan ini dibuat kerana Viktor telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan anti-Islam.
- CAIR menyeru rakyat Amerika untuk memboikot acara yang menyampaikan mesej anti-Islam.
WASHINGTON – Sebuah organisasi terbesar yang memperjuangkan hak orang Islam, Council on American-Islamic Relations (CAIR) menggesa Conservative Political Action Conference (CPAC) untuk mengeluarkan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dari senarai jurucakap bagi sebuah acaranya yang bakal berlangsung di Texas.
Permintaan tersebut dibuat susulan sebuah kenyataan dikeluarkan Viktor berbaur perkauman dan anti-Islam baru-baru ini.
Viktor ketika berucap menyatakan bahawa dia tidak mahu Hungary menjadi negara berbilang kaum serta memberi amaran tentang ketamadunan Islam yang cuba disebarluaskan ke negara-negara Eropah.
“Sekiranya Viktor Orban dikekalkan sebagai jurucakap di acara itu, CPAC Texas seakan-akan menyampaikan mesej bahawa kenyataannya yang berbaur perkauman dan Islamofobia disenangi rakyat Amerika, padahal ianya adalah sebaliknya,” ujar Robert McCaw, Pengarah Hal Ehwal Kerajaan CAIR.
Robert turut mengambil maklum bahwa Viktor sebelum ini merupakan jurucakap di CPAC Hungary kali pertama yang dianjurkan oleh Budapest-based Center for Fundamental Rights dan American Conservative Union.
Pihak CAIR sendiri telah menyeru rakyat Amerika untuk memboikot acara tersebut.
CAIR mempunyai misi untuk melindungi hak sivil, meningkatkan kefahaman orang ramai tentang Islam, menegakkan keadilan dan memperkasa umat Islam di Amerika.
Sumber: CAIR
