Terkini
Cadangan jadikan STPM satu-satunya laluan pra universiti tidak sesuai – Dr Anuar
- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia MINDA UKM, Dr Anuar Ahmad berkata demikian ketika mengulas cadangan Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan mewujudkan satu sistem peperiksaan prauniversiti yang seragam, dengan STPM dijadikan standard penilaian bagi kemasukan ke universiti awam.
- Menurut Dr Anuar, program matrikulasi diwujudkan dengan tujuan khusus untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains, khususnya ketika bilangan pelajar Bumiputera dalam aliran berkenaan masih rendah.
- “STPM berjalan seperti biasa. Saya sendiri merupakan bekas pelajar STPM dan tidak menghadapi masalah untuk memasuki universiti. Dalam masa sama, ada pelajar yang masuk melalui matrikulasi, asasi dan A-Level. Mengapa kita mahu mengehadkannya kepada satu bentuk sahaja sedangkan kaedah kemasukan boleh dipelbagaikan mengikut keperluan?” katanya.
KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan satu-satunya sistem peperiksaan prauniversiti bagi kemasukan ke universiti awam disifatkan tidak sesuai dengan keperluan pendidikan dan kepelbagaian masyarakat negara ini.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia MINDA UKM, , Dr Anuar Ahmad berkata, kewujudan pelbagai laluan seperti STPM, matrikulasi, asasi dan A-Level memberi peluang kepada pelajar membuat pilihan berdasarkan minat, kelayakan serta keperluan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan mewujudkan satu sistem peperiksaan prauniversiti yang seragam, dengan STPM dijadikan standard penilaian bagi kemasukan ke universiti awam.
Menurut Dr Anuar, program matrikulasi diwujudkan dengan tujuan khusus untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains, khususnya ketika bilangan pelajar Bumiputera dalam aliran berkenaan masih rendah.
“Program matrikulasi ialah projek khas kerajaan bagi memastikan bekalan sumber manusia dalam bidang sains tidak berkurangan.
“Kita tidak mahu satu kaum mempunyai bilangan pelajar aliran sains yang tinggi, sedangkan kaum lain tidak mempunyai penyertaan yang mencukupi. Sebab itu program khas seperti matrikulasi diwujudkan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau berkata, program matrikulasi kini turut terbuka kepada pelajar bukan Bumiputera dan tidak lagi hanya tertumpu kepada satu kelompok masyarakat.
Pada masa sama, kewujudan matrikulasi tidak menjejaskan pelaksanaan STPM kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan pilihan pengajian berbeza.
Menurutnya, pelajar matrikulasi lazimnya mengikuti aliran sains, manakala pelajar STPM mempunyai pilihan untuk mengikuti aliran sains atau sastera.
“STPM berjalan seperti biasa. Saya sendiri merupakan bekas pelajar STPM dan tidak menghadapi masalah untuk memasuki universiti.
“Dalam masa sama, ada pelajar yang masuk melalui matrikulasi, asasi dan A-Level. Mengapa kita mahu mengehadkannya kepada satu bentuk sahaja sedangkan kaedah kemasukan boleh dipelbagaikan mengikut keperluan?” katanya.
Dr Anuar berkata, cadangan untuk mewujudkan hanya satu laluan prauniversiti tidak begitu sesuai dengan keadaan masyarakat ketika ini yang memerlukan pelbagai pilihan pendidikan.
Ada pelajar, katanya, memilih A-Level kerana mengikuti pendidikan di sekolah antarabangsa, manakala sebahagian yang lain memilih STPM, matrikulasi atau program asasi berdasarkan hala tuju pengajian masing-masing.
Apa yang lebih penting ialah setiap kelayakan tersebut mempunyai kualiti yang baik, diiktiraf dan memenuhi syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
“Cadangan supaya hanya ada satu saluran tidak begitu sesuai dengan keperluan dan keadaan masyarakat kita pada hari ini yang mempunyai pelbagai pilihan.
“Kita boleh membuka pelbagai laluan asalkan kualiti persijilan seperti STPM, matrikulasi, asasi atau A-Level berada pada tahap yang baik, diiktiraf dan melayakkan pelajar memasuki universiti,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa sistem seragam boleh menjadikan proses pemilihan pelajar lebih adil dan telus, Dr Anuar berkata, keseragaman tidak semestinya bermaksud hanya satu program atau laluan dibenarkan.
Sebaliknya, keseragaman perlu dilihat dari aspek kualiti, pengiktirafan, kurikulum dan syarat asas yang ditetapkan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
“Seragam bukan bermaksud semuanya mesti sama atau hanya ada satu saluran. Program boleh dipelbagaikan, tetapi aspek kualiti dan pengiktirafan mestilah seragam.
“Misalnya, pelajar perlu mengikuti kurikulum kebangsaan, menguasai Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah. Perkara itu yang perlu diseragamkan, bukannya semua pelajar dipaksa melalui satu laluan sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa STPM perlu dikekalkan kerana ia memberi peluang kepada pelajar yang mahu meneruskan pengajian berhampiran tempat tinggal mereka.
Dalam aspek kualiti pula, beliau berkata, STPM sememangnya mempunyai standard tinggi dan diterima oleh banyak universiti di seluruh dunia.
Kelayakan matrikulasi dan asasi juga mempunyai tahap kualiti yang baik serta memenuhi tujuan tertentu dalam perancangan pendidikan negara.
“Tidak timbul isu STPM, matrikulasi atau asasi tidak berkualiti. Semua kelayakan itu berada pada tahap yang baik dan mempunyai peranan masing-masing.
“Program matrikulasi membolehkan kerajaan merancang lebih awal bilangan pelajar yang akan memasuki aliran sains di universiti. Itu merupakan sebahagian daripada agenda besar negara,” katanya..-The Merdeka Times