Terkini
Pelabur gergasi dunia turut terpedaya penyata palsu eFishery – Tengku Zafrul
- “KWAP tak masuk melabur seorang diri. KWAP cuma pegang 2.51% saham. Ini pelabur yang minoriti. Majoriti dipegang oleh pelabur lain, termasuk Dana Pelaburan Kerajaan Singapura yang mengurus lebih 500 bilion SGD pun melabur. Begitu juga Softbank pelaburan teknologi Jepun.
- “Northstar yang dah lama melabur di Indonesia dan 42x Fund dari Abu Dhabi. Maksudnya, ada pelabur yang jauh lebih besar daripada KWAP, dan ada yang memang berpengalaman dalam pasaran Indonesia.
- “Tetapi hasil siasatan kemudiannya mendapati, pengurusan eFishery telah memalsukan pernyataan kewangannya selama bertahun-tahun,” – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Beberapa pelabur antarabangsa yang lebih besar dan berpengalaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) turut terpedaya dengan penyata kewangan eFishery yang didakwa telah dimanipulasi selama bertahun-tahun.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, KWAP hanya memegang 2.51 peratus saham dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia itu dan merupakan pelabur minoriti.
Menurutnya, antara pelabur lain dalam eFishery ialah dana pelaburan kerajaan Singapura yang menguruskan lebih SGD500 bilion, firma pelaburan teknologi Jepun SoftBank, Northstar serta 42X Fund dari Abu Dhabi.
“Maksudnya, ada pelabur yang jauh lebih besar daripada KWAP dan ada yang memang berpengalaman dalam pasaran Indonesia.
“Tetapi hasil siasatan kemudiannya mendapati pengurusan eFishery telah memalsukan penyata kewangannya selama bertahun-tahun,” katanya menerusi video di Facebook.
Tengku Zafrul berkata, KWAP dan pelabur lain membuat keputusan berdasarkan maklumat kewangan yang telah dimanipulasi oleh pengurusan syarikat berkenaan.
Beliau menjelaskan, cadangan pelaburan bernilai RM163 juta itu telah dinilai pasukan pelaburan KWAP sebelum diluluskan oleh panel pelaburannya.
Justeru, katanya, proses penelitian wajar atau due diligence telah dilaksanakan, namun penipuan itu didakwa dilakukan secara terancang sehingga pelabur antarabangsa berpengalaman turut tertipu.
Tengku Zafrul berkata, KWAP telah menjalankan semakan dalaman menyeluruh dan sedang menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin dana berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa jumlah yang berjaya diperoleh semula masih belum diketahui, sekali gus menjadikan dakwaan bahawa keseluruhan pelaburan RM163 juta itu sudah hangus sebagai tidak tepat.
Bagaimanapun, katanya, setiap sen wang awam yang boleh diperoleh semula mesti dikejar dan tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya ditemukan unsur kecuaian.
“Kita tidak akan sembunyikan kegagalan. Tetapi jangan cuba menipu rakyat. Kononnya, KWAP dah hampir bankrap dan pencen penjawat awam tak dapat dibayar. Itu bukan fakta, itu auta,” katanya– The Merdeka Times