Terkini
Lesen Network School dibatalkan, Operasi diarah henti mulai 22 Julai
- “Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya keputusan Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan semua aktiviti NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City dihentikan, berkuat kuasa pada 22 Julai 2026,” – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
- Keputusan tersebut dibuat berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menyokong penuh keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd atau Network School serta mengarahkan semua operasinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa 22 Julai 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan pihak syarikat.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan dan maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti serta proses undang-undang disempurnakan.
“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Onn Hafiz menegaskan Johor terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
Kerajaan negeri turut menggesa Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau kesalahan lain.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.
“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya.
Pada masa sama, Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation digesa meneliti status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi itu sekiranya terdapat ketidakpatuhan.
Onn Hafiz turut meminta semua agensi memperketat proses penelitian wajar, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi dan naratif yang dibawa mana-mana organisasi.
Menurutnya, perkara itu telah dipersembahkan untuk makluman serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. – The Merdeka Times