Connect with us

Terkini

Kampung Cot penempatan serpihan tidak berdaftar JAKOA – Exco Pahang

Published

on

Foto: Exco Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
  • “Kerajaan Negeri Pahang ingin menjelaskan bahawa dakwaan berhubung wujudnya pertikaian tanah melibatkan Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran adalah tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Kenyataan yang tular tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes ini.
  • “Merujuk kepada Kampung Cot, Maran, penempatan tersebut merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan JAKOA. Berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan oleh mereka sendiri kepada jabatan tersebut.
  • “Pada masa yang sama, tanah berkenaan telah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015,” – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Penempatan Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran sebenarnya merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), kata Exco Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata, dakwaan kononnya berlaku pertikaian tanah seperti yang tular tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes berkenaan.

“Berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan oleh mereka sendiri kepada jabatan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Syed Ibrahim, tanah terbabit turut dipohon sebuah syarikat dan permohonan itu telah diluluskan Pihak Berkuasa Negeri menerusi keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 4 November 2015.

JAKOA kemudiannya mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menyelesaikan pertindihan tuntutan antara penama Orang Asli dan syarikat berkenaan.

Hasil perbincangan mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan, namun dakwaan bahawa kawasan itu merupakan tanah adat tidak dapat disahkan berdasarkan rekod pihak berkuasa.

Rekod turut menunjukkan kawasan seluas kira-kira 30 ekar itu digunakan untuk tanaman getah dan kelapa sawit tanpa kebenaran sah.

Syed Ibrahim berkata, enam penama terbabit berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar di Maran, Paya Bungor di Kuantan dan Bukit Rok di Bera, bukannya dari Kampung Cot.

Kerajaan negeri telah meminta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti bentuk bantuan bersesuaian yang boleh diberikan oleh pihak syarikat kepada penama terlibat.

Beliau turut meminta semua pihak mengelakkan spekulasi dan memberi ruang kepada agensi berkaitan menyelesaikan isu tersebut secara profesional, berlandaskan undang-undang serta melalui proses libat urus. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author