Terkini
PAS, BN kini ‘satu pasukan’, Nga Kor Ming gesa pengundi tolak gelombang hijau
- “Hadi Awang sudah berkata sendiri. Undi MCA, bermakna undi PAS; sokong BN, secara tidak langsung membolehkan Hadi Awang dan PAS masuk ke dalam kerajaan negeri Johor. Inilah masanya kita semua bergerak padu menyokong PH untuk menentang gelombang hijau yang ekstrem.” – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming
- Nga Kor Ming berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri forum kedai kopi PH di Stulang pagi tadi (9 Julai) untuk berkempen bagi calon Andrew Chen Kah Eng
- Beliau turut mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh sebelum ini mengucapkan terima kasih atas sokongan PAS, manakala kenyataan terbaru Hadi mengenai kesediaan membentuk kerajaan bersama BN, menurutnya, mengukuhkan persepsi bahawa kedua-dua pihak kini bergerak sehaluan.
JOHOR BAHRU:Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa pengundi Johor menolak apa yang disifatkannya sebagai “gelombang hijau” pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan parti itu menyokong UMNO untuk membentuk kerajaan negeri jika diperlukan.
Menurut Nga, kenyataan Hadi membuktikan sokongan PAS terhadap UMNO bagi membentuk kerajaan negeri bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didakwanya merupakan sebahagian daripada strategi politik yang telah dirancang.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor supaya keluar mengundi pada Sabtu ini bagi mempertahankan pendekatan politik yang menurutnya bersifat majmuk dan progresif, selain menghalang kemaraan “gelombang hijau”.
“Hadi Awang sudah berkata sendiri. Undi MCA bermakna undi PAS. Sokong BN secara tidak langsung membolehkan Hadi Awang dan PAS masuk ke dalam kerajaan negeri Johor. Inilah masanya kita semua bergerak padu menyokong PH untuk menentang gelombang hijau yang ekstrem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Forum Kopitiam Pakatan Harapan di Stulang pada Khamis bagi membantu kempen calon PH, Andrew Chen Kah Eng.
Nga berkata, walaupun PAS hanya bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor, parti itu secara terbuka menyeru penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN).
Beliau turut mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh sebelum ini mengucapkan terima kasih atas sokongan PAS, manakala kenyataan terbaru Hadi mengenai kesediaan membentuk kerajaan bersama BN, menurutnya, mengukuhkan persepsi bahawa kedua-dua pihak kini bergerak sehaluan.
“Dengan perkembangan ini, PN dan BN jelas sudah menjadi satu pasukan. Johor dan Negeri Sembilan akan menjadi sasaran seterusnya gelombang hijau yang bergerak ke selatan, maka rakyat perlu bersatu menghalang fahaman ekstremis ini,” katanya.
Nga turut mendakwa sekiranya PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pada masa depan, pelbagai dasar yang menurutnya bersifat lebih konservatif dan ekstrem berkemungkinan mempengaruhi pentadbiran negeri.
“Hari ini Hadi Awang menyokong UMNO, esok fahaman ekstrem PAS akan meresap masuk ke dalam kerajaan negeri Johor. Mereka mahu mengawal pemakaian orang bukan Islam, menyusun semula Kampung Baharu Cina dan membiarkan fahaman agama ekstrem mengawal kehidupan harian kita. Adakah ini masa depan yang diingini oleh rakyat Johor?” katanya.-The Merdeka Times