Terkini
BN dianggap tewas jika gagal menang 40 kerusi PRN Johor – Liew Chin Tong
- Menurut Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong ukuran kemenangan BN pada PRN kali ini bukan sekadar berjaya membentuk kerajaan negeri, sebaliknya sama ada gabungan itu mampu mengekalkan statusnya sebagai kuasa politik dominan di Johor.
- “Jika BN gagal memperoleh sekurang-kurangnya 40 kerusi, mereka sebenarnya sudah boleh dianggap tewas,” katanya dalam sesi podcast isu semasa bersama BBK Network pada 1 Julai lalu.
- Menurutnya, kemenangan besar BN pada PRN Johor 2022 banyak dipengaruhi oleh kadar keluar mengundi yang rendah, sekitar 55 peratus ketika negara masih berdepan kesan pandemik COVID-19.
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong, mendakwa Barisan Nasional (BN) sebenarnya boleh dianggap “tewas” pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya gagal memperoleh sekurang-kurangnya 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Menurut beliau, ukuran kemenangan BN pada PRN kali ini bukan sekadar berjaya membentuk kerajaan negeri, sebaliknya sama ada gabungan itu mampu mengekalkan statusnya sebagai kuasa politik dominan di Johor.
“Jika BN gagal memperoleh sekurang-kurangnya 40 kerusi, mereka sebenarnya sudah boleh dianggap tewas,” katanya dalam sesi podcast isu semasa bersama BBK Network pada 1 Julai lalu.
Liew berkata, sasaran itu penting kerana BN mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri selain bergantung kepada jentera akar umbi UMNO yang disifatkannya bergerak seperti “tentera darat” dari rumah ke rumah semasa kempen.
Beliau mendakwa kekuatan jentera tersebut hanya mampu mengunci sekitar 500,000 undi teras, namun berpendapat beberapa faktor pada PRN kali ini boleh mengekang usaha BN untuk mengulangi kemenangan besar seperti pada 2022.
Menurutnya, kemenangan besar BN pada PRN Johor 2022 banyak dipengaruhi oleh kadar keluar mengundi yang rendah, sekitar 55 peratus ketika negara masih berdepan kesan pandemik COVID-19.
Liew turut mendakwa peningkatan jumlah pengundi luar yang pulang mengundi, selain protes dalaman dalam UMNO, berpotensi menjejaskan hasrat BN untuk memperoleh majoriti besar, sekali gus mengunjurkan gabungan itu gagal melepasi ambang 40 kerusi.
Dalam wawancara sama, Liew bersama pemimpin DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng, turut mengkritik pentadbiran kerajaan negeri dengan mendakwa Johor berdepan risiko kembali kepada sistem politik yang didominasi oleh satu parti sekiranya BN memperoleh kemenangan besar.
Beliau berhujah keadaan itu, menurutnya, boleh menyukarkan usaha melaksanakan reformasi berstruktur yang diperlukan di negeri berkenaan.
Liew turut membangkitkan dakwaan bahawa wujud sentimen dalam kalangan sebahagian rakyat yang melihat kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, terlalu tertumpu kepada pembangunan di wilayah Johor Bahru.
Menurut beliau, pembangunan yang sering diketengahkan kerajaan negeri lebih memfokuskan Johor Selatan, manakala kawasan di Johor Tengah dan Johor Utara seperti Kluang serta beberapa pekan lain didakwa masih memerlukan perhatian lebih besar dari segi peralihan industri, pemodenan sektor pertanian dan pelaksanaan projek tebatan banjir secara menyeluruh.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini dengan 56 kerusi DUN dipertandingkan.-The Merdeka Times