Terkini
Kes tukar agama kanak-kanak: Keizinan ibu atau bapa memadai, teks Melayu Perlembagaan atasi versi Inggeris
- Menurut peguam, Aidil Khalid, keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Shamsulbahri Ibrahim dalam kes Siti Noorarina Abdullah lawan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor itu turut memperjelaskan kedudukan teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Melayu berbanding versi bahasa Inggeris.
- Aidil berkata, isu berhubung teks Perlembagaan menjadi antara perkara dipertikaikan dalam kes yang melibatkan permohonan seorang wanita untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pengislamannya ketika masih kanak-kanak oleh ibunya yang memeluk Islam adalah tidak sah dan dia kekal beragama Hindu.
- Menurut Aidil, teks bahasa Inggeris Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menggunakan perkataan “parent” yang sebelum ini ditafsirkan Mahkamah Persekutuan sebagai memerlukan keizinan kedua-dua ibu dan bapa sebelum seseorang kanak-kanak bukan Islam boleh memeluk Islam secara sah.
KUALA LUMPUR – Peguam, Aidil Khalid menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Klang yang memutuskan bahawa Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan ialah teks berbahasa Melayu sebagai satu perkembangan besar yang memberangsangkan dan wajar diraikan.
Menurutnya, keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Shamsulbahri Ibrahim dalam kes Siti Noorarina Abdullah lawan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor itu turut memperjelaskan kedudukan teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Melayu berbanding versi bahasa Inggeris.
Aidil berkata, isu berhubung teks Perlembagaan yang berkuat kuasa menjadi antara perkara yang dipertikaikan dalam kes berkenaan yang melibatkan permohonan seorang wanita untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pengislamannya ketika masih kanak-kanak oleh ibunya yang memeluk Islam adalah tidak sah dan beliau kekal beragama Hindu.
Menurut beliau, teks bahasa Inggeris Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menggunakan perkataan “parent” yang sebelum ini ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai memerlukan keizinan kedua-dua ibu dan bapa sebelum seseorang kanak-kanak bukan Islam boleh memeluk Islam secara sah.
Bagaimanapun, beliau berkata Mahkamah Tinggi Klang dalam kes tersebut telah merujuk kepada warkah daripada Raja Perlis yang mengesahkan bahawa teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Melayu telah ditetapkan sebagai teks sahih sejak tahun 2003.
Perenggan 24 penghakiman yang dipetik dalam hantaran itu menyatakan:
“Dalam satu warkah bertarikh 16 Januari 2025 kepada Peguam Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis menjelaskan bahawa ketika bertindak sebagai Yang di-Pertuan Agong XII, baginda telah menetapkan teks bahasa Melayu sebagai versi sahih Perlembagaan Persekutuan pada 29 September 2003. Perkara itu berlaku semasa Majlis Pelancaran Perlembagaan Persekutuan Teks Bahasa Kebangsaan.”
Aidil berkata, berdasarkan keputusan tersebut, sebarang percanggahan antara teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu dirujuk kepada versi bahasa Melayu sebagai teks yang mengatasi versi bahasa Inggeris.
Menurut beliau, penggunaan frasa “ibu atau bapa” dalam teks bahasa Melayu juga membawa implikasi bahawa keizinan salah seorang daripada ibu atau bapa adalah memadai untuk mengislamkan seseorang kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau berharap agensi berkaitan, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dapat memainkan peranan dalam memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai keputusan berkenaan.
“Dengan keputusan bersejarah ini, saya berharap agensi-agensi seperti DBP terutamanya, perlu mengambil peranan, untuk menguar-uarkan perkara ini, wacanakan, forumkan, dan ambil serta laksanakan langkah-langkah lanjutan untuk memastikan pengisytiharan ini benar-benar diberikan pelaksanaan oleh semua pihak.
“Jangan biarkan keputusan bersejarah oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana ini terbiar tidak bersahut oleh agensi-agensi berwajib,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hamzah Khatri kerana membawa kes tersebut kepada perhatiannya.