Terkini
Marina desak data Rohingya didedah, tuntut penjelasan kerajaan, UNHCR
- “Semua kena desak kerajaan; perincikan data berapa bilangan penduduk Rohingya mengikut daerah, negeri. Mana yang masih menjawat jawatan YB, cuba tanya isu ni. Percayalah.. tiada data terperinci.” – ADUN Skudai, Marina Ibrahim
- “Desak kerajaan jalankan siasatan khas isu Rohingya. Kalau di KLIA ada isu ‘counter setting’, bagaimana pula dengan isu berbangkit di mana ada dakwaan bayaran dikenakan untuk masuk ke Malaysia oleh ejen?”
- “Bagaimana dengan mudah boleh masuk ke negara kita? Perairan kita? Sempadan negara? Adakah mudah dibolosi? Isu ini melibatkan kedaulatan negara,” katanya.
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menggesa kerajaan supaya memperincikan data sebenar pelarian Rohingya mengikut daerah dan negeri serta menjalankan siasatan khas berhubung pelbagai isu berkaitan komuniti tersebut di negara ini.
Menurut beliau, kebimbangan masyarakat tempatan berhubung isu Rohingya mempunyai asas yang perlu diberi perhatian, namun penyelesaian kepada isu berkenaan perlu dibuat secara realistik dan bukannya berasaskan emosi.
Marina berkata, kerajaan perlu mendedahkan data terperinci mengenai jumlah pelarian Rohingya yang berada di Malaysia kerana sehingga kini beliau percaya maklumat tersebut tidak tersedia secara menyeluruh.
“Semua kena desak kerajaan; perincikan data berapa bilangan penduduk Rohingya mengikut daerah, negeri. Mana yang masih menjawat jawatan YB, cuba tanya isu ni. Percayalah.. tiada data terperinci,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut menggesa kerajaan menjalankan siasatan khas terhadap isu Rohingya termasuk dakwaan wujud bayaran tertentu yang dikenakan oleh ejen bagi membolehkan pelarian memasuki Malaysia.
“Desak kerajaan jalankan siasatan khas isu Rohingya. Kalau di KLIA ada isu ‘counter setting’, bagaimana pula dengan isu berbangkit di mana ada dakwaan bayaran dikenakan untuk masuk ke Malaysia oleh ejen? ” katanya.
Menurutnya, siasatan juga perlu meneliti aspek kawalan sempadan dan perairan negara memandangkan isu tersebut melibatkan kedaulatan negara.
“Bagaimana dengan mudah boleh masuk ke negara kita? Perairan kita? Sempadan negara? Adakah mudah dibolosi? Isu ini melibatkan kedaulatan negara,” tegasnya.
Dalam masa sama, Marina berkata kerajaan perlu mendesak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengadakan perbincangan secara telus berhubung pengurusan pelarian Rohingya di Malaysia.
Beliau mempersoalkan tempoh masa yang diperlukan untuk pelarian dipindahkan ke negara ketiga memandangkan terdapat individu yang menunggu sehingga bertahun-tahun tanpa sebarang kepastian.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pelarian akhirnya mengambil keputusan untuk menetap di Malaysia selepas berputus asa menunggu penempatan semula.
Marina turut menggesa UNHCR menjelaskan usaha yang dilaksanakan bagi mengawal pertambahan pelarian Rohingya di Malaysia serta menjawab persoalan berkaitan pengurusan komuniti tersebut.
Beliau berkata, pelbagai persoalan perlu dijawab oleh badan antarabangsa itu memandangkan kerajaan Malaysia tidak menerima sebarang peruntukan bagi membantu pengurusan pelarian Rohingya.
“Tanya UNHCR apa usaha mereka gunakan untuk mengawal lambakan pelarian Rohingya di Malaysia. Kerajaan Malaysia pun tidak menerima sebarang peruntukan bagi membantu pelarian Rohingya.
“UNHCR sepatutnya didesak kerajaan menjawab bagaimana pengurusan pelarian Rohingya di Malaysia dan kenakan tindakan pada penguatkuasa yang tak amanah dan bersekongkol dengan sindiket.” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak seharusnya menafikan masalah yang ditimbulkan oleh sebahagian pelarian Rohingya dalam komuniti setempat, manakala masyarakat pula perlu mengelakkan tindakan berasaskan emosi sehingga mengetepikan pertimbangan dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh termasuk aspek kemasukan pelarian ke negara ini, pengurusan data, pemantauan serta penguatkuasaan terhadap pihak yang didakwa bersekongkol dengan sindiket berkaitan. – The Merdeka Times