Connect with us

Terkini

Rohingya: Jangan ambil tindakan sendiri, lapor pada pihak berkuasa – Polis Perak

Published

on

Foto: Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
  • Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata sebarang salah laku oleh kumpulan itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
  • “Jika ada salah laku daripada pihak Rohingya, mereka (orang ramai) perlu buat laporan terlebih dahulu supaya polis mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

IPOH, Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri terhadap etnik Rohingya sebaliknya menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata sebarang salah laku oleh kumpulan itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

“Jika ada salah laku daripada pihak Rohingya, mereka (orang ramai) perlu buat laporan terlebih dahulu supaya polis mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mohd Alwi berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima aduan mengenai kegiatan jenayah atau salah laku melibatkan kumpulan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya gerakan kempen tular di media sosial yang didakwa mengajak orang ramai mengambil tindakan terhadap kumpulan Rohingya di negeri itu.

Ditanya tentang dakwaan ramai etnik Rohingya berada di bandar Manjung, Mohd Alwi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri jika terdapat perkara yang memerlukan bantuan atau tindakan pihak berkuasa.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata etnik Rohingya di Perak banyak berada di Manjung dengan kebanyakan mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri tidak mempunyai angka tepat berhubung jumlah tersebut dan beberapa maklumat awal sedang diteliti bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Terdahulu, Timbalan Ketua JSJK (Siasatan/Perundangan) Superintenden Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik memangku Ketua JSJK Perak menggantikan ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang bersara wajib pada 18 Jun.– BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author