Connect with us

Terkini

Rahsia suami gay kahwin hanya taktik puaskan hati keluarga, sembunyi identiti seksual

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Dalam satu pendedahan eksklusif, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, tampil berkongsi kisah emosi yang dilaluinya selepas menyedari dirinya dijadikan ‘topeng’ pelindung bekas suaminya.
  • Menurut Siti, bekas suaminya tidak mempunyai ‘kekasih’ tetap, sebaliknya bertukar-tukar pasangan dan sering menghubungi kenalan lama yang dikenali sejak zaman universiti semata-mata untuk mengajak mereka mengadakan hubungan intim.
  • Siti turut mendedahkan bahawa bekas suaminya yang juga seorang guru lebih gemar meluangkan masa dan membina keakraban dengan golongan pelajar menerusi aktiviti luar seperti mendaki bukit.

KUALA LUMPUR – Institusi perkahwinan kini dilihat mula beralih fungsi menjadi ‘perisai’ sosial oleh segelintir individu homoseksual bagi menyembunyikan identiti seksual sebenar mereka. 

Perkahwinan sebegini sebenarnya dilihat hanya taktik untuk memuaskan hati keluarga dan menjaga nama baik kerjaya, sedangkan si isteri teraniaya menjadi mangsa dalam rumah tangga yang tidak berpijak di bumi nyata.

Dalam satu pendedahan eksklusif, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, tampil berkongsi kisah emosi yang dilaluinya selepas menyedari dirinya dijadikan ‘topeng’ pelindung oleh bekas suaminya.

Menurut Siti, bekas suaminya tidak mempunyai ‘kekasih’ tetap, sebaliknya bertukar-tukar pasangan dan sering menghubungi kenalan lama yang dikenali sejak zaman universiti semata-mata untuk mengajak mereka mengadakan hubungan intim. 

Siti turut mendedahkan bahawa bekas suaminya yang juga seorang guru lebih gemar meluangkan masa dan membina keakraban dengan golongan pelajar menerusi aktiviti luar seperti mendaki bukit. 

Mengimbas kembali detik awal, Siti menjelaskan beliau menerima lamaran bekas suaminya selepas diperkenalkan rakan universiti kerana melihat perwatakannya yang baik, berpendidikan agama serta menampilkan imej luaran yang sangat alim. 

Malah, sepanjang tempoh pertunangan, mereka tidak pernah keluar berdua dan hanya berhubung melalui WhatsApp bagi menjaga batas pergaulan.

Bagaimanapun, Siti menyedari terdapat desakan keluarga yang mendesak bekas suaminya untuk berkahwin memandangkan usianya telah menjangkau 30-an. 

Walaupun pihak keluarga cuba memperkenalkan wanita lain, lelaki tersebut memilih Siti.

“Cumanya saya rasa dia memilih untuk berkahwin kerana untuk menutup mulut keluarga dan orang sekeliling yang sering menanyakan soalan-soalan tentang ‘bila nak kahwin?'” ujar Siti.

Sejak awal perkahwinan, Siti terpaksa berhadapan dengan situasi double life (dua wajah) dalam rumah tangga. 

Hubungan suami isteri tersebut digambarkan seperti housemate (teman serumah) kerana ketiadaan kemesraan fizikal seperti memegang tangan atau memeluk, kecuali sewaktu sesi fotografi perkahwinan. 

Hubungan kelamin yang sempurna (penetrasi) juga langsung tidak berlaku selepas beberapa percubaan di peringkat awal.

Siti mendedahkan bekas suaminya sengaja mengelak daripada bertemu dengannya di dalam rumah, tidak pernah mengambil berat kebajikannya serta lebih gemar melakukan aktiviti bersendirian. 

Perbezaan layanan tersebut semakin ketara apabila lelaki yang bertugas dalam bidang perguruan itu mempamerkan sikap yang sangat mesra dengan orang lain di luar.

“Dengan orang lain dia layan dengan baik, mesra, dan penuh perhatian… Siap i love you, bersayang-sayang dengan anak murid lelaki.

Si suami juga tidak mahu menggunakan panggilan manja, walaupun diminta oleh isterinya.

Siti berkata, situasi tersebut menyebabkannya menangis setiap malam sepanjang beberapa bulan perkahwinan kerana merasakan kehadirannya membebankan.

Kekeliruan yang dihadapi Siti akhirnya terjawab apabila beliau memeriksa telefon bimbit bekas suaminya akibat timbul perasaan curiga. 

Pemeriksaan itu membongkar rahsia besar apabila beliau menemui beberapa catatan peribadi (notes) yang ditulis berkaitan kecenderungan seksual suaminya.

Siti turut menemui teks perbualan (chat) bersama beberapa lelaki lain yang mengandungi unsur lucah serta ajakan ke arah hubungan sesama jenis. 

Bukti digital tersebut mengesahkan bahawa keinginan mengajak hubungan sejenis itu masih aktif sebulan sebelum kahwin, beberapa hari sebelum akad nikah dan berterusan sewaktu dalam tempoh pernikahan.

Penemuan itu mendorong Siti untuk segera merujuk kepada kaunselor pejabat agama tanpa memaklumkan kepada keluarga atau rakan terdekat terlebih dahulu demi mendapatkan kepastian pakar.

Dalam pada itu, Siti turut menitipkan pesanan tegas agar ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak mereka yang masih berada di alam persekolahan dan tidak mudah terpedaya dengan sikap baik segelintir guru yang dilihat terlalu rapat dengan murid. 

Beliau mengingatkan bahawa persekitaran dan sikap para pendidik pada zaman sekarang sudah tidak sama seperti dahulu, sekali gus menuntut kewaspadaan yang lebih tinggi daripada penjaga.

Tegas Siti, antara punca utama golongan remaja terjebak dengan gejala orientasi songsang tersebut adalah akibat faktor pendedahan awal di peringkat sekolah, sama ada yang datang daripada pengaruh guru mahupun rakan sebaya

Melalui siri laporan ini, Siti menitipkan pesanan beretika yang mendalam kepada masyarakat, terutamanya golongan yang sedang bergelut dengan isu identiti seksual agar tidak menjadikan perkahwinan sebagai jalan penyelesaian konflik dalaman.

“Pesanan saya kepada individu yang sedang bergelut dengan isu orientasi seksual adalah dengan berlaku jujurlah kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain, terutamanya apabila melibatkan perkahwinan.

Perkahwinan bukan sekadar untuk memenuhi harapan keluarga, mengelakkan tekanan masyarakat atau menjaga imej diri. Jangan perjudikan nasib anak orang lain demi kepentingan diri sendiri,” tegas Siti.- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author