Terkini
“Sejak bila DAP adalah satu kaum? DAP tu parti politik” – Khairy
- Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan tindakan mengkritik atau menolak kerjasama dengan DAP tidak seharusnya dikategorikan sebagai tindakan perkauman (rasis).
- “DAP is not a race (DAP bukan satu kaum). Sejak bila DAP adalah satu kaum? DAP tu parti politik,” katanya.
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa tindakan mengkritik atau menolak kerjasama dengan DAP tidak seharusnya dikategorikan sebagai tindakan perkauman (rasis).
Beliau berkata, DAP bukan sebuah bangsa tetapi parti politik.
“DAP is not a race (DAP bukan satu kaum). Sejak bila DAP adalah satu kaum? DAP tu parti politik,” katanya ringkas ketika ditemui pihak media.
Seorang pengulas politik dilaporkan menuduh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi mempamerkan sikap perkauman selepas beliau mengisytiharkan lebih rela tidak menjadi menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP.
Tajuddin Rasdi berkata, Onn Hafiz sepatutnya mencontohi sikap perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman, yang sanggup duduk bersemuka dengan pemimpin komunis Malaya, Chin Peng, untuk Rundingan Damai Baling pada 1955.
Beliau berkata, Onn Hafiz perlu diingatkan bahawa pendiriannya itu bercanggah dengan prinsip Islam yang memelihara martabat semua manusia.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP bagi menghormati hasrat rakyat negeri itu yang mahu BN bergerak sendiri pada PRN.
Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian itu bukan didorong oleh sentimen perkauman mahupun bersifat sombong, sebaliknya menegaskan ia adalah soal prinsip, mandat yang diterima dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.
Malah, beliau menegaskan lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri. – The Merdeka Times