Terkini
Aplikasi gay, Grindr masih boleh dimuat turun, kerajaan dituntut kenakan sekatan sepenuhnya
- Berdasarkan pemerhatian The Merdeka Times, aplikasi Grindr masih boleh diakses dan dimuat turun secara bebas oleh pengguna peranti Android, sebaliknya, bagi pengguna iOS, aplikasi tersebut tidak dapat dikesan.
- Presiden Muafakat, Ariff Omar berkata Malaysia perlu mencontohi langkah negara maju seperti Australia atau Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan undang-undang ketat terhadap syarikat teknologi global.
- Jelasnya, syarikat Google dan Apple perlu diwajibkan secara undang-undang untuk menyaring dan membuang aplikasi yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 daripada stor wilayah Malaysia.
KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa untuk memastikan laman sosial yang memudaratkan seperti aplikasi temu janji gay, Grindr disekat sepenuhnya daripada terus diakses oleh pengguna di negara ini bagi memelihara nilai moral, sosial dan undang-undang tempatan.
Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ariff Omar berkata, kerajaan, institusi agama, akademia dan masyarakat sivil perlu bergerak seiring untuk menegakkan kedaulatan undang-undang moral di ruang siber.
“Usaha ini adalah satu tuntutan patriotisme dan keagamaan yang kritikal demi melahirkan modal insan yang berintegriti, sihat dan mampu memimpin negara dengan acuan nilai yang luhur,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, Malaysia perlu mencontohi langkah negara maju seperti Australia atau Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan undang-undang ketat terhadap syarikat teknologi global.
Jelasnya, syarikat Google dan Apple perlu diwajibkan secara undang-undang untuk menyaring dan membuang aplikasi yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 daripada stor wilayah Malaysia.
Selain itu, kurikulum pendidikan negara tidak harus mengehadkan celik digital kepada kemahiran teknikal sahaja, sebaliknya perlu mengintegrasikan elemen etika siber, keselamatan moral, dan kesedaran jenayah seksual dalam talian.
“Memandangkan sekatan teknologi tidak akan pernah kalis 100 peratus, benteng paling ampuh adalah di peringkat mikro.
“Ibu bapa perlu mempraktikkan ‘techno-parenting’ iaitu menggunakan aplikasi kawalan ibu bapa (parental control) dan membina komunikasi terbuka berasaskan kefahaman agama yang kukuh bersama anak-anak,” katanya.
Berdasarkan pemerhatian The Merdeka Times, aplikasi Grindr masih boleh diakses dan dimuat turun secara bebas oleh pengguna peranti Android melalui Google Play Store.
Sebaliknya, bagi pengguna iOS, aplikasi tersebut tidak dapat dikesan berkemungkinan telah disekat oleh penyedia, iaitu syarikat asing beroperasi di luar Malaysia.
The Merdeka Times sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung status penguatkuasaan sekatan tersebut.
Sebelum ini, MCMC dilaporkan telah menyekat akses ke laman web seperti Grindr dan Blued, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, MCMC belum menerima sebarang permintaan untuk menurunkan aplikasi janji temu berkenaan daripada gedung aplikasi.
“Bagaimanapun, MCMC sedang mengkaji beberapa langkah perundangan untuk mengekang aplikasi berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Grindr, Blued dan Growlr digunakan secara meluas untuk janji temu sejenis dan rangkaian sosial.
Berdasarkan laporan media, aplikasi itu telah dikeluarkan daripada gedung aplikasi rasmi atau disekat di beberapa negara, termasuk China, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.
Kementerian Komunikasi dilaporkan sebagai berkata, kawalan terhadap aplikasi di platform seperti Google Play dan Apple App Store tertakluk kepada dasar ditetapkan oleh penyedia masing-masing, iaitu syarikat asing beroperasi di luar Malaysia.
Mengulas lanjut, Ariff berkata, dari aspek sosiologi, kewujudan aplikasi tersebut dilihat bertindak sebagai pemangkin kepada keruntuhan moral dan institusi kekeluargaan berikutan ketiadaan tapisan umur yang ketat, sekali gus mendedahkan golongan remaja kepada ancaman pemangsa seksual siber (cyber-grooming). Jelasnya, ciri tanpa nama (anonymity) yang ditawarkan turut menyasarkan golongan dewasa termasuk lelaki berkahwin, yang menyumbang kepada krisis domestik, keretakan rumah tangga, dan peningkatan kadar penceraian.