Terkini
MBMB arah hentikan ritual kematian Hindu di pesisiran pantai
- Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pemeriksaan yang dijalankan anggota penguat kuasa MBMB di lokasi mendapati aktiviti berkenaan dilakukan beberapa keluarga dari Jasin dan Kuala Lumpur.
- Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya tidak menemui sebarang abu mayat dibuang di kawasan perairan itu, sebaliknya hanya menjumpai barangan seperti beras, belanga serta bunga-bungaan yang dipercayai digunakan sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan itu.
MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan satu aktiviti ritual keagamaan berhampiran kawasan pesisir pantai Taman Residence 8, Padang Temu, di sini, dihentikan serta-merta selepas aktiviti itu tular dan menerima aduan orang awam semalam.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pemeriksaan yang dijalankan anggota penguat kuasa MBMB di lokasi mendapati aktiviti berkenaan dilakukan beberapa keluarga dari Jasin dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya tidak menemui sebarang abu mayat dibuang di kawasan perairan itu, sebaliknya hanya menjumpai barangan seperti beras, belanga serta bunga-bungaan yang dipercayai digunakan sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan itu.
Katanya, ketika siasatan dijalankan, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta Balai Polis Banda Hilir turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan berkaitan aduan yang diterima.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang pembuangan abu mayat dilakukan di kawasan pantai itu seperti yang dibimbangi sesetengah pihak.
“Susulan penemuan itu, pihak MBMB mengarahkan semua barangan berkenaan dibersihkan dan diangkat serta-merta bagi memastikan kawasan pantai kekal bersih dan tidak mengganggu orang awam,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Katanya, tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk mengeluarkan satu Notis Untuk Tindakan (NUT) dengan tempoh pematuhan serta-merta terhadap penganjur aktiviti berkenaan.
“Aktiviti ritual itu diarahkan supaya dihentikan serta-merta dan tidak diteruskan di kawasan awam terbabit.
“Pihak penguat kuasa turut memberi nasihat kepada ketua aktiviti supaya tidak mengulangi perkara sama pada masa akan datang demi mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.Menurut beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam yang mewakili masyarakat Hindu di negeri ini bagi mencari mekanisme terbaik untuk pelaksanaan aktiviti ritual masyarakat berkenaan tanpa menimbulkan sebarang ketidakselesaan kepada orang lain. – The Merdeka Times