Connect with us

Terkini

‘Muslim tak dibenarkan’: Guru besar didakwa sekat kemasukan Muslim ke sekolah kerajaan

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Guru besar itu didakwa memberitahu ibu bapa dan pelajar “Muslim tidak dibenarkan di sekolah ini… kanak-kanak yang datang berpakaian putih tidak akan diterima masuk.”
  • Kira-kira 30 pelajar, termasuk beberapa pelajar dari sebuah pusat pengajian Islam di Chakkuvalli, dilaporkan memohon untuk memasuki sekolah tersebut.
  • Pengadu mendakwa kanak-kanak terbabit dinafikan kemasukan walaupun terdapat permintaan daripada guru-guru dan wakil PIBG.

KERALA – Satu aduan telah dikemukakan yang mendakwa beberapa kanak-kanak Muslim dinafikan kemasukan ke sebuah sekolah bantuan kerajaan di daerah Kollam, Kerala, India dengan guru besarnya dilaporkan berkata “Muslim tidak dibenarkan di sekolah ini”.

Aduan tersebut ditujukan terhadap guru besar Sekolah Dr C.T. Eapen Memorial RHS di Sasthamkotta, lapor MediaOne TV yang dipetik Maktoob Media.

Menurut aduan itu, guru besar berkenaan didakwa memberitahu ibu bapa dan pelajar “Muslim tidak dibenarkan di sekolah ini… kanak-kanak yang datang berpakaian putih tidak akan diterima masuk.”

Kira-kira 30 pelajar, termasuk beberapa pelajar dari sebuah pusat pengajian Islam di Chakkuvalli, dilaporkan memohon untuk memasuki sekolah tersebut.

Pengadu mendakwa kanak-kanak terbabit dinafikan kemasukan walaupun terdapat permintaan daripada guru-guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Mereka turut mendakwa tiada tindakan diambil walaupun aduan telah dikemukakan kepada pihak pengurusan sekolah dan Pegawai Pendidikan Daerah.

Menurut media tempatan, sekolah itu hanya mempunyai 63 pelajar dari Tingkatan 5 hingga Tingkatan 10, dengan hanya seorang pelajar Muslim yang kini berdaftar di peringkat sekolah menengah.

Mereka mendakwa para guru sebelum ini giat menarik kemasukan pelajar melalui pelbagai usaha bagi memastikan jumlah pendaftaran kekal stabil, kerana penurunan jumlah pelajar boleh menyebabkan kehilangan satu jawatan guru sambilan.

“Isunya ialah kanak-kanak yang datang itu beragama Islam… malah pakaian yang mereka pakai juga menjadi masalah,” dakwa Naib Presiden PIBG sekolah tersebut.

Beberapa guru turut mendakwa bahawa guru besar berkenaan pernah menunjukkan sikap yang sama dalam kejadian-kejadian sebelum ini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Kerala, N. Shamsudheen berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya aduan tersebut diterima dan disahkan benar.

“Tiada siapa mempunyai hak untuk menafikan akses seorang kanak-kanak kepada pendidikan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author