Terkini
‘Memang saya setuju bagi laluan kepada UEC ini’ – PM Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya yang bersetuju memberikan laluan kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), meskipun berdepan dengan pelbagai kecaman dan tohmahan politik daripada pihak pembangkang.
Beliau menyatakan bahawa isu UEC ini tidak sepatutnya terus dipolitikkan memandangkan parti-parti politik lain, termasuk UMNO, PAS, dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini juga pernah menyatakan persetujuan serta keterbukaan mereka terhadap pengiktirafan sijil berkenaan.
“Saya nak bagi tahu, memang saya setuju bagi laluan kepada UEC ini. Apa beza dia? Masa kamu lulus dulu, kamu tak ada fikir secara terperinci dan syaratnya. ,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan yang membandingkan pendiriannya sekarang dengan ucapan beliau pada 30 tahun lalu, Anwar menjelaskan bahawa landskap sosio-politik negara sudah berubah dan masyarakat Melayu kini jauh lebih matang.
Anwar turut menegaskan, Kerajaan Madani juga telah menetapkan syarat-syarat ketat demi memelihara kedaulatan identiti nasional.
Antara syarat utama yang dikenakan adalah calon UEC mesti memperoleh keputusan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan wajib lulus mata pelajaran Sejarah.
“Dulu ada pertembungan, betul. Kalau diambil ucapan saya 30 tahun dulu, memang saya kurang bersetuju kerana saya anggap ini seolah-olah sistem yang tak mahu hormat langsung sistem negara.
“Tetapi keadaan berubah… Orang Melayu pun lebih matang. Dia lebih yakin, anak-anak Cina menguasai Bahasa Melayu dengan baik. 50 tahun berlalu, kemudian kita kenakan syarat mesti lulus Bahasa Melayu kepujian, mesti lulus Sejarah. Kalau dulu, no way, tak ada perbincangan. Jadi, kalau masyarakat Cina terima baik, orang Melayu terima baiklah,” jelas beliau lagi.
Selain isu UEC, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai pelbagai tohmahan yang mendakwa beliau ‘menggadaikan’ hak Bumiputera ekoran kelonggaran kuota matrikulasi serta pengambilan pelajar cemerlang bukan Bumiputera.
Beliau menjelaskan bahawa kuota asal 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera masih dipertahankan malah, dasar berkaitan keistimewaan Melayu, Bumiputera, serta program syiar Islam kini diperkukuh dengan jauh lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.
Namun begitu, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, pendekatan yang lebih adil dan berperikemanusiaan diambil bagi memastikan mana-mana pelajar yang benar-benar pintar tanpa mengira kaum mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kita layan, kalau anak Melayu atau Cina atau Iban atau Kadazan atau India itu pintar betul-betul, dapat 10A, saya tak sampai hati nak kata, ‘No, no, no, no.’
“Dia bukan ambil daripada Cina dan potong yang Melayu, tak. Ini hanya yang paling pintar yang 10A… bagilah direct masuk matrikulasi. Ini yang kita luluskan,” katanya. – The Merdeka Times