Terkini
Titah Sultan Selangor diabai: GARAH pertikai 688 kuil haram masih tiada tindakan
- Arahan Sultan Selangor pada 8 Februari 2026 untuk menamatkan pencerobohan tanah bagi pembinaan rumah ibadat masih belum dipatuhi sepenuhnya.
- Data rasmi mengesahkan 688 kuil haram (388 di tanah kerajaan, 299 di tanah persendirian) wujud di Selangor, tetapi tiada tindakan menyeluruh diambil.
- GARAH menggesa kerajaan dan PBT bertindak selaras titah Sultan, dengan populasi Hindu cuma 11.9% tetapi kuil haram jauh melebihi keperluan.
KUALA LUMPUR – Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) mempersoalkan mengapa titah Sultan Selangor pada 8 Februari 2026 yang mengarahkan untuk menamatkan pencerobohan tanah bagi pembinaan rumah ibadat, masih belum dipatuhi sepenuhnya sehingga kini.
Pengerusi GARAH, Firdaus Wong menegaskan pihaknya bertindak berdasarkan titah Sultan Selangor, bukannya atas inisiatif sendiri.
Namun, arahan tersebut masih belum dilaksanakan walaupun hampir enam bulan berlalu.
“Kami bersandar pada titah Tuanku. Tuanku suruh hentikan, Tuanku suruh pihak berkuasa bertindak. Jadi kami buat laporan polis suruh pihak berkuasa tindak atas perintah Tuanku,” tegas Firdaus.
Timbalan Pengerusi GARAH, Ustaz Masridzi Sat, mendedahkan bahawa data daripada pihak berkuasa sendiri mengesahkan terdapat 688 kuil haram di Selangor, 388 dibina di atas tanah kerajaan dan 299 di atas tanah persendirian.
“Ini data rasmi PAPERADU dalam sidang DUN Selangor pada 26 April 2026. Mereka sendiri mengaku ada 688 kuil haram. Tapi di mana tindakan?” soal Ustaz Masridzi.
Beliau turut menyatakan bahawa di Wilayah Persekutuan sahaja terdapat 115 lagi kuil haram, dengan satu kes di Jalan Kuching melibatkan pampasan hampir RM10 juta untuk tanah seluas 4,000 kaki persegi.
“Ini modus apa? Dari duduk tinggi di tanah orang, tiba-tiba boleh dapat tanah percuma. Ini yang kita persoalkan,” katanya.
Ustaz Masridzi merujuk kepada titah Sultan Selangor pada 8 Februari 2026 yang menekankan kepentingan pematuhan kepada undang-undang dan tatacara dalam pembinaan rumah ibadat. Titah tersebut jelas mengarahkan supaya pencerobohan tanah ditamatkan.
“Tuanku sendiri beritahu suruh tamatkan benda ni. PBT kena buat kerja, polis kena buat kerja. Tapi sampai sekarang, tiada tindakan menyeluruh,” katanya.
Beliau membandingkan dengan tindakan tegas terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang segera ditahan dan didakwa di Mahkamah Langkawi, manakala penceroboh tanah dibiarkan berleluasa.
“Tamim dikenal pasti melalui Interpol, kononnya penjenayah besar. Tapi penceroboh 688 kuil haram ni—di mana tindakan?” soal Ustaz Masridzi.
Ustaz Masridzi turut mempersoalkan logik di sebalik bilangan kuil haram yang jauh melebihi keperluan populasi Hindu yang hanya 11.9 peratus daripada penduduk Selangor.
“688 kuil haram, kalau cantum dengan kuil sah 1,300. Populasi Hindu cuma 11.9 peratus. Ini dah melampau. Lebih banyak daripada masjid pun ada,” katanya.
GARAH menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan agar segera bertindak terhadap pencerobohan tanah ini, selaras dengan titah Sultan Selangor.
“Kami bukan menentang mana-mana agama. Kami mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas Firdaus. – The Merdeka Times