Terkini
Titah Sultan adalah noktah, Tiada ruang untuk perdebatan – MAIS
- “ Titah Sultan adalah noktah bagi segala polemik. Tiada ruang untuk perdebatan lanjut apabila baginda telah memutuskan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat dan negeri. Kepada mereka yang mencabar titah Sultan, ingatlah bahawa tanah Selangor ini mempunyai tuannya, dan undang-undang akan sentiasa tegak untuk mempertahankannya daripada sebarang bentuk hasutan, penghinaan dan penderhakaan,” – Majlis Agama Islam Selangor
- Menerusi satu penulisan bertajuk “Kedaulatan Sultan Selangor: Keabsahan Titah Ketua Agama Islam dan Raja Pemerintah Negeri”, MAIS menegaskan bahawa Institusi Diraja Selangor merupakan benteng terakhir dalam memelihara kesucian agama Islam, keharmonian negeri serta keluhuran sistem pemerintahan berperlembagaan.
- Penulisan tersebut dipercayai merujuk kepada polemik yang timbul susulan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri berkenaan.
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa titah Sultan Selangor merupakan noktah kepada sebarang polemik yang melibatkan kepentingan rakyat dan negeri, serta tidak seharusnya terus diperdebatkan apabila sesuatu keputusan telah diperkenankan oleh baginda.
Menerusi satu penulisan bertajuk “Kedaulatan Sultan Selangor: Keabsahan Titah Ketua Agama Islam dan Raja Pemerintah Negeri”, MAIS menegaskan bahawa Institusi Diraja Selangor merupakan benteng terakhir dalam memelihara kesucian agama Islam, keharmonian negeri serta keluhuran sistem pemerintahan berperlembagaan.
Menurut MAIS, setiap cabang kerajaan perlu memahami bahawa autoriti yang dimiliki mereka berpunca daripada kedaulatan Sultan sebagai pemerintah negeri dan pemegang amanah Allah SWT.
“Titah Sultan adalah noktah bagi segala polemik. Tiada ruang untuk perdebatan lanjut apabila baginda telah memutuskan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat dan negeri.
“Kepada mereka yang mencabar titah Sultan, ingatlah bahawa tanah Selangor ini mempunyai tuannya, dan undang-undang akan sentiasa tegak untuk mempertahankannya daripada sebarang bentuk hasutan, penghinaan dan penderhakaan,” menurut kenyataan itu.
Penulisan tersebut dipercayai merujuk kepada polemik yang timbul susulan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri berkenaan.
MAIS menjelaskan bahawa dari sudut perlembagaan negeri, kedaulatan Sultan Selangor berakar umbi daripada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang mengiktiraf baginda sebagai pemerintah yang berdaulat serta punca kuasa pemerintahan negeri.
Sebagai Ketua Agama Islam Negeri, Sultan Selangor juga disifatkan sebagai Ulul Amri yang memikul amanah untuk memelihara agama, keadilan serta kepentingan rakyat. Justeru, titah yang dikeluarkan baginda dalam perkara melibatkan kepentingan awam dan sensitiviti masyarakat mempunyai asas perundangan serta kedudukan yang sah untuk dipatuhi.
Menurut MAIS, demokrasi yang diamalkan di Malaysia bukanlah demokrasi mutlak, sebaliknya demokrasi berperlembagaan yang meletakkan institusi Raja sebagai pemerintah berdaulat dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
Sehubungan itu, badan berkenaan menegaskan bahawa prinsip demokrasi tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menghina atau mencabar titah Sultan kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan semangat keluhuran perlembagaan yang menjadi asas pemerintahan negara.
Dalam masa sama, MAIS turut menekankan bahawa Sultan mempunyai peranan sebagai pelindung agama Islam dan pemelihara keharmonian negeri, termasuk kuasa prerogatif untuk memantau, menegur atau menolak nasihat pihak eksekutif sekiranya didapati bercanggah dengan kepentingan agama, rakyat atau negeri.
Menyentuh aspek penguatkuasaan undang-undang, MAIS berpandangan bahawa terdapat asas perundangan yang kukuh untuk tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, penghinaan atau penderhakaan terhadap institusi diraja.
Menurutnya, kedaulatan Sultan Selangor tidak boleh dipertaruhkan demi kepentingan politik sempit, manakala sebarang cubaan mencabar autoriti baginda perlu ditangani mengikut lunas undang-undang bagi memastikan kehormatan institusi Raja terus terpelihara.-The Merdeka Times