Connect with us

Terkini

Dasar ‘Flip-Flop’ punca Bahasa Melayu masih gagal kuasai IPT – Awang Sariyan

Published

on

Foto: Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.
  • Tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan bahawa ketidakpastian dasar itu telah menjejaskan rancangan kerja asas yang sepatutnya berjaya memartabatkan bahasa Melayu, sebagaimana ketetapan kerajaan menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu tinggi pada tahun 1983 sebagai permulaan penguatkuasaannya di menara gading.
  • Kini setelah lebih 40 tahun, ketetapan itu belum terlaksana dengan memuaskan, dengan kursus kritikal seperti undang-undang, perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi masih banyak yang dikuliahkan dalam bahasa Inggeris.
  • “Kita mempunyai sekian banyak pelan dan perancangan, tetapi  gagal menunjukkan hasil yang jelas kerana kelemahan dari segi penegasan dan penguatkuasaan. Pada tahun 2011, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mewujudkan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu di IPT tetapi tidak banyak perubahan yang berlaku,” katanya.

SHAH ALAM – Dasar pendidikan tinggi negara yang agak sering berubah-ubah atau ‘flip-flop’ dikenal pasti sebagai punca utama pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masih gagal mencapai sasaran yang sepatutnya.

Bercakap kepada The Merdeka Times, tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan bahawa ketidakpastian dasar itu telah menjejaskan rancangan kerja asas yang sepatutnya berjaya memartabatkan bahasa Melayu, sebagaimana ketetapan kerajaan menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu tinggi pada tahun 1983 sebagai permulaan penguatkuasaannya di menara gading. 

Kini setelah lebih 40 tahun, ketetapan itu belum terlaksana dengan memuaskan, dengan kursus kritikal seperti undang-undang, perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi masih banyak yang dikuliahkan dalam bahasa Inggeris.

“Kita mempunyai sekian banyak pelan dan perancangan, tetapi  gagal menunjukkan hasil yang jelas kerana kelemahan dari segi penegasan dan penguatkuasaan. Pada tahun 2011, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mewujudkan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu di IPT tetapi tidak banyak perubahan yang berlaku. 

“Kini sedang berlangsung Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA 3.0 (2023-2030) dan kita mengharapkan berlaku lonjakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

“Malah, ada dapatan daripada audit bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di IPT yang mendedahkan pimpinan universiti yang memberikan alasan kononnya institusi teknikal tidak relevan menggunakan bahasa kebangsaan. Itu satu jawapan yang menghina dasar negara; dasar tersebut wajib dipatuhi oleh semua IPT tanpa mengira bidang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana arahan kerajaan pada tahun 2005 yang mewajibkan kursus-kursus kritikal seperti undang-undang, perubatan, sains dan teknologi serta kejuruteraan diajarkan dalam bahasa Inggeris telah merencatkan kemajuan dasar berkenaan.

Awang turut mengimbas bukti sejarah kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada tahun 1970, dan telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, khususnya dalam bidang perubatan yang dianggap kritikal.

“Kumpulan pertama Fakulti Perubatan UKM pada tahun 1973 kebanyakannya berkuliah dalam bahasa Melayu dan lulusannya terbukti berjaya menjadi doktor pakar tanpa sebarang masalah. 

“Malah, belum pernah ada berita seorang pesakit pun mati kerana dirawat oleh doktor lulusan UKM semata-mata kerana mereka belajar dalam bahasa kebangsaan,” jelas beliau bagi menyangkal dakwaan bahawa bidang sains dan perubatan tidak boleh diajarkan dalam bahasa Melayu.

Menurut beliau, ekosistem pendidikan tinggi negara kini berdepan dengan masalah pelaksanaan di peringkat kepemimpinan institusi, selain kecenderungan mengejar penarafan global (ranking) yang menjejaskan penulisan ilmiah dalam bahasa Melayu.

Beliau turut meluahkan rasa sesal terhadap sikap acuh tak acuh pengurusan tertinggi beberapa IPT yang memberikan alasan tidak munasabah untuk mengelak daripada mematuhi dasar negara. 

Menyentuh soal kenaikan pangkat akademik, Awang yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menjelaskan, sistem penilaian di Malaysia seolah-olah meletakkan sistem pengindeksan karya ilmiah dalam bahasa Melayu, seperti MyCite, sebagai kelas kedua berbanding indeks Barat seperti Scopus, ISI atau WoS. 

“Situasi itu menyebabkan para pensyarah terpaksa membayar ribuan ringgit untuk menerbitkan artikel di jurnal asing demi mengejar merit, yang secara tidak langsung menyerahkan data-data kajian penting negara kepada pihak luar,” katanya.

Sebagai langkah pembetulan, beliau menggesa kerajaan agar tidak menjadikan penarafan Barat sebagai ukuran mutlak yang memukau ahli akademik, sebaliknya mengembalikan merit tinggi kepada penghasilan buku ilmiah dan menjadikan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai salah satu ukuran rasmi untuk pengiktirafan kenaikan pangkat Profesor Madya dan Profesor.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir Naib Canselor yang mengarahkan bidang sains kemanusiaan diajarkan sehingga 30 peratus dalam bahasa Inggeris, termasuk dalam kajian bahasa, sastera, budaya dan warisan tempatan. 

Mengambil contoh dari luar negara, beliau menarik perhatian terhadap ketegasan sistem pendidikan di China yang meletakkan prasyarat penguasaan bahasa Mandarin yang cemerlang bagi mana-mana individu yang hendak memohon pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

“Di negara China, universiti apa pun menggunakan bahasa Mandarin walupun ada sejumlah kursus dalam bahasa asing. Sebaliknya di Malaysia, bukan sahaja peringkat PhD, malah di peringkat sarjana muda pun penguasaan bahasa kebangsaan kita kurang diberi penegasan. 

“Walaupun Perdana Menteri ada menekankan penegasan bahasa baru-baru ini, susulannya tetap berbalik kepada ketua institusi itu sendiri sejauh mana mereka melaksanakan dasar tersebut,” katanya.- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author