Connect with us

Terkini

PRU16:  Masalah PH bukan undi Cina, Tetapi sokongan Melayu –  Datuk Huan Cheng Guan

Published

on

Foto: Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.
  • Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata Sokongan 100 peratus pengundi Cina kepada Pakatan Harapan (PH) tidak akan secara automatik membolehkan gabungan politik itu memenangi 112 kerusi Parlimen.
  • “Undi Cina sudah diperah sampai hampir 95 peratus. Walaupun dengan sokongan Cina setinggi itu, PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) cuma menang 82 kerusi: DAP 40, PKR 31, Amanah lapan dan UPKO dua. Masih jauh daripada 112. Perah sokongan Cina daripada 95 ke 100 peratus tidak akan jadikan oren bertukar jadi durian,” katanya dalam satu kenyataan.

KUALA LUMPUR – Sokongan 100 peratus pengundi Cina kepada Pakatan Harapan (PH) tidak akan secara automatik membolehkan gabungan politik itu memenangi 112 kerusi Parlimen. 

Sebaliknya, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, ia hanya akan bantu DAP menang majoriti lebih besar di kerusi yang memang sudah dikuasai.

“Undi Cina sudah diperah sampai hampir 95 peratus. Walaupun dengan sokongan Cina setinggi itu, PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) cuma menang 82 kerusi: DAP 40, PKR 31, Amanah lapan dan UPKO dua. Masih jauh daripada 112. Perah sokongan Cina daripada 95 ke 100 peratus tidak akan jadikan oren bertukar jadi durian. 

“Sejarah juga sudah tunjuk satu perkara dengan jelas. Setiap kali DAP berada dalam kerajaan persekutuan, sama ada PH 1.0 dari 2018 hingga 2020 atau kerajaan Madani dari 2022 hingga sekarang, ketidakstabilan politik meningkat, pertumbuhan ekonomi perlahan, dan akhirnya PKS serta rakyat biasa, termasuk masyarakat Cina sendiri, yang menanggung akibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan mengatakan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming menyeru masyarakat Cina untuk menumpu sokongan 100 peratus kepada PH supaya gabungan itu boleh memenangi 112 kerusi pada PRU-16 dan bentuk kerajaan pusat sendiri tanpa perlu ‘tengok muka orang lain’.

Bagaimanapun, hasil daripada semakan silang pada akhbar Oriental Daily, Kor Ming tidak menyebut secara spesifik frasa meminta masyarakat Cina memberikan sokongan 100 peratus. 

Sebaliknya, laporan asal menunjukkan bahawa beliau menggunakan istilah ‘seluruh rakyat’ dan menekankan usaha bersama semua kaum sebagai hala tuju untuk mencapai sasaran tersebut.

Mengulas lanjut, Cheng Guan berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu, sokongan pengundi kaum Cina kepada PH dan DAP sebenarnya dianggarkan mencatatkan hampir 95 peratus. 

Beliau menjelaskan bahawa jika sokongan tersebut meningkat kepada 100 peratus sekali pun, ia sekadar melibatkan tambahan lima peratus pengundi Cina yang mana mengikut perkiraan mudah, hanya akan menyumbang sekitar dua hingga tiga peratus sahaja kepada jumlah undi keseluruhan di kerusi campuran berstatus 40 hingga 60 peratus pengundi Cina. 

Tambahan kecil itu ujarnya, mungkin boleh membantu di beberapa kawasan yang mencatatkan majoriti sangat tipis, namun ia mustahil memberikan puluhan kerusi baharu kepada PH untuk mencapai angka 112 kerusi Parlimen.

Cheng Guan menarik perhatian bahawa masalah lebih besar yang dihadapi adalah bilangan kerusi majoriti Cina yang sememangnya terhad dan sebahagian besarnya telah pun dimenangi oleh PH dan DAP. 

“Pada PRU15, DAP tanding 33 kerusi di Semenanjung dan menang semua 33 kerusi. Banyak kerusi majoriti atau kawasan berat Cina sudah dimenangi DAP dengan majoriti besar.

“Di kerusi begini, sokongan Cina naik daripada 95 kepada 100 peratus hanya akan besarkan majoriti DAP. Menang 50,000 undi: satu kerusi. Menang 80,000 undi: tetap satu kerusi. Undi tambahan itu tidak akan bertukar menjadi kerusi Parlimen baharu,” katanya lagi.

Lebih mencabar buat DAP, tambahnya, banyak kawasan tradisi mereka didakwa semakin kehilangan peratusan majoriti pengundi Cina akibat perubahan demografi, kehadiran pengundi baharu serta perpindahan penduduk yang mengecilkan zon selesa parti berkenaan. 

Pada masa sama, beliau memberitahu, pengundi di Sabah dan Sarawak juga dilihat semakin beralih kepada parti tempatan dan menjauh daripada DAP serta PH sejak pilihan raya lalu, sekali gus meletakkan status quo lima kerusi di Sarawak dan dua kerusi di Sabah dalam keadaan tidak menentu untuk dipertahankan, apatah lagi bagi menambah kerusi baharu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa faktor penentu sebenar untuk PH mencapai sasaran 112 kerusi bukanlah terletak pada baki lima peratus pengundi Cina, sebaliknya sangat bergantung kepada sokongan pengundi Melayu, Bumiputera, India, dan pengundi atas pagar di kerusi campuran. 

“Faktor sebenar yang menentukan sama ada PH boleh menang 112 kerusi bukan baki 5 peratus pengundi Cina. Ia bergantung kepada pengundi Melayu, Bumiputera, India dan pengundi atas pagar di kerusi campuran.

“Masalah PH bukan kerana Cina kurang sokong. Masalah PH ialah sokongan Melayu tidak cukup. Dan sekarang nampaknya PH makin hilang lagi sokongan Melayu. Jadi, janganlah terus tipu masyarakat Cina,” tambahnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author