Terkini
KDN gerakkan operasi banteras aktiviti warga asing salah guna pas untuk berniaga
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara berkenaan adalah selaras arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas diambil terhadap aktiviti berkenaan susulan aduan yang diterima oleh beliau sendiri.
- Beliau berkata, agensi dibawah KDN seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi bagi membanteras secara sepenuhnya aktiviti haram oleh warga asing.
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui agensi dibawahnya kini menggerakkan operasi khusus bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing dengan menyalahgunakan pas sosial di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara berkenaan adalah selaras arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas diambil terhadap aktiviti berkenaan susulan aduan yang diterima oleh beliau sendiri.
Beliau berkata, agensi dibawah KDN seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi bagi membanteras secara sepenuhnya aktiviti haram oleh warga asing.
“Perdana Menteri sendiri menerima aduan. Jadi agensi berkenaan telah diminta untuk meningkatkan tindakan penguatkuasan … tentu kita akan tengok kesalahan di Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan KDN, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengarahkan pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.
Saifuddin Nasution berkata, KDN melalui agensi dibawahnya mempunyai kepakaran tertentu bagi mengesan keberadaan setiap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram.
“Kita telah ada hotspot yang kita mapping yang kita tahu banyaknya keberadaan warga asing yang di bawah Akta Imigresen mereka masuk kosong tanpa dokumen, tinggal lebih masa atau dia salah guna pas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan warga asing menjalankan perniagaan haram ini menerima rungutan warga tempatan kerana mereka ini menawarkan perkhidmatan dengan kadar lebih rendah.
“Dia (warga) masuk (guna) pas sosial, dia menjalankan aktiviti perniagaan yang menjadi rungutan warga tempatan iaitu dia bersaing dan menunjukkan persaingan.
“Ketika warga tempatan membayar cukai, mereka tidak dan mereka menawarkan tawaran harga yang jauh lebih murah, kadang-kadang dia masuk sebagai juruhias dalaman ataupun dia mengambil tempahan perabot,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, KDN mempunyai pengalaman menguruskan kes penyalahgunaan pas sosial untuk bekerja oleh warga asing di Sabah.
“Kita mengambil tindakan misalnya dalam kes di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Pantai Timur Sabah ada resort yang kita kesan sebagai diusahakan oleh warga asing yang masuk bukan dengan pas perniagaan dan sebagainya, tapi menjalankan perniagaan.
“Jadi kita jalankan operasi pelbagai agensi di Pantai Timur Sabah, diketuai ESSCOM dan semua agensi yang terlibat dan kita telah lakukan tiga kali tindakan penguatkuasaan sepanjang tahun lepas,” katanya. – BERNAMA