Terkini
Bantahan projek Langkawi memuncak, Exco Kedah kata ‘No Comment’
- “No comment atau tiada komen” – Demikian respons Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria ketika ditanya berhubung isu pembangunan bangunan komersial 40 tingkat di pesisir Pantai Cenang di Tanjung Mali dan Pulau Rebak Kecil yang mendapat bantahan penduduk Langkawi.
- Berdasarkan portfolio bagi jawatan dipegang Mansor, peranan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Kedah secara umumnya merangkumi tiga sektor utama iaitu perumahan, kerajaan tempatan dan kesihatan.
- Berdasarkan penyelidikan geologi dan dokumen saintifik terdahulu, Bukit Tanjung Mali dikatakan tapak warisan penting yang menempatkan formasi dropstone purba berumur sekitar 300 juta tahun dan diiktiraf pakar antarabangsa sebagai birthplace of Malaysia serta Asia Tenggara.
KUALA LUMPUR – “No comment atau tiada komen” – Demikian respons Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria ketika ditanya berhubung isu pembangunan di pesisir Pantai Cenang di Bukit Tanjung Mali dan Pulau Rebak Kecil, Langkawi yang mendapat bantahan penduduk Langkawi.
Berdasarkan portfolio bagi jawatan yang dipegang Mejar (B) Mansor, peranan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Kedah secara umumnya merangkumi tiga sektor utama iaitu perumahan, kerajaan tempatan dan kesihatan.
Sebelum ini, penduduk tempatan dan komuniti Langkawi dilaporkan menggesa semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan segera campur tangan bagi menangani kebimbangan berhubung cadangan pembangunan di pesisir Pantai Cenang di Bukit Tanjung Mali, Langkawi yang membabitkan pengubahan zon tanah hutan kepada zon perniagaan dengan projek bangunan 40 tingkat serta pengubahan zon hutan, pertanian dan perairan di Pulau Rebak Kecil kepada zon perniagaan untuk pembangunan komersial.
Berdasarkan penyelidikan geologi dan dokumen saintifik terdahulu, Bukit Tanjung Mali dikatakan tapak warisan penting yang menempatkan formasi dropstone purba berumur sekitar 300 juta tahun dan diiktiraf pakar antarabangsa sebagai birthplace of Malaysia serta Asia Tenggara.
Mereka berkumpul di Pantai Cenang dengan slogan ‘Ambil Peduli, Sayang Langkawi, baru-baru ini bagi membantah peningkatan pembangunan yang didakwa tidak bertanggungjawab yang sedang berlaku di Pulau Langkawi yang boleh memberikan impak kekal terhadap aspek warisan geologi, ekosistem marin serta sosio ekonomi penduduk di pulau peranginan berkenaan.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dodo Project Langkawi bersama Pertubuhan Sepakat Langkawi dilaporkan menganjurkan perhimpunan bagi membantah pembangunan di Tanjung Mali dan Pulau Rebak Kecil itu dengan sokongan penduduk Langkawi, termasuk kariah masjid, persatuan nelayan, persatuan silat dan rukun tetangga.
Pertubuhan itu juga sudah menyerahkan memorandum bantahan yang mengandungi hampir 1,000 tandatangan penduduk, selain bantahan yang dijalankan secara online yang dibuka Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.
Semalam, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, beliau sedia meneliti pelan induk (master plan) serta mendapatkan perincian lanjut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung isu projek pembangunan di Tanjung Mali di Pantai Cenang dan Pulau Rebak Kecil, Langkawi yang dilaporkan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Mohd. Suhaimi memaklumkan bahawa beliau akan mendekati Yang Dipertua majlis serta pegawai daerah berkaitan dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar serta status kelulusan mengenai perancangan pembangunan di kawasan berkenaan. – The Merdeka Times