Connect with us

Terkini

Kutipan tol Genting : MCW gesa kerajaan jelas status sebenar Jalan Genting

Published

on

Foto: Presiden MCW, Jais Abdul Karim
  • Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan negeri yang terlibat, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan serta pihak pengurusan Genting Highlands tampil memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat susulan pelaksanaan kutipan tol di jalan menuju ke Genting Highlands yang mula berkuat kuasa semalam.
  • Jelasnya, penjelasan itu merangkumi status sebenar jalan tersebut, asas undang-undang kutipan tol, struktur kadar yang dikenakan serta tanggungjawab yang dipikul oleh pihak pengendali terhadap keselamatan dan kebajikan pengguna.
  • “Rakyat berhak mengetahui asas perundangan yang membolehkan kutipan tersebut dilaksanakan,” tegasnya.

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melahirkan kebimbangan terhadap implikasi dasar yang lebih besar susulan pelaksanaan kutipan tol di jalan menuju ke Genting Highlands yang mula berkuat kuasa semalam.

Sekiranya kebenaran mengutip tol atas alasan status ‘jalan persendirian’ diterima tanpa penelitian yang mendalam, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ia dikhuatiri akan memberi ‘lesen’ kepada mana-mana pemilik resort, bandar persendirian atau pembangunan komersial lain untuk memasang palang tol di mana-mana jalan yang digunakan oleh orang ramai merentasi tanah milik mereka selepas ini. 

“MCW bimbang terhadap implikasi dasar yang lebih besar. Jika prinsip ini diterima tanpa penelitian yang mendalam, adakah selepas ini mana-mana pemilik resort, bandar persendirian atau pembangunan komersial boleh mengenakan tol ke atas jalan yang digunakan oleh orang ramai atas alasan ia dibina di atas tanah milik mereka?

“Ini bukan semata-mata isu Genting Highlands. Ini adalah isu dasar awam, hak pengguna, ketelusan pentadbiran dan integriti proses kelulusan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan keputusan pelaksanaan kutipan tol di jalan menuju ke Genting Highlands yang mula berkuat kuasa semalam, sambil menuntut penjelasan telus daripada pihak berkuasa mengenai status sebenar jalan berkenaan.

Annuar membangkitkan keraguan mengapa kebenaran mengutip tol tersebut diberi sekarang atas alasan ia merupakan jalan persendirian (private road), sedangkan laluan itu merupakan antara rangkaian utama yang menghubungkan Lebuhraya Karak di Pahang dan Jalan Hulu Yam di Hulu Selangor.

Mengulas lanjut, Jais menambah, MCW berpandangan bahawa isu ini tidak boleh ‘disederhanakan’ kepada hujah bahawa sesuatu jalan itu terletak di atas tanah milik syarikat, lalu pemiliknya bebas mengenakan tol kepada pengguna. 

Beliau menegaskan, persoalan yang lebih besar  adalah sama ada jalan tersebut, walaupun dibina dan disenggara oleh pihak swasta, telah berfungsi sebagai sebahagian daripada jaringan pengangkutan awam yang digunakan secara meluas oleh rakyat selama puluhan tahun.

“Laluan Genting Highlands bukan sekadar akses ke pusat peranginan. Ia turut digunakan oleh pekerja, guru, kakitangan operasi, kontraktor, penduduk setempat serta pengguna yang menjadikan laluan tersebut sebagai jalan penghubung antara kawasan di Selangor dan Pahang,” katanya.

Sehubungan itu, Jais menarik perhatian bahawa timbul persoalan sama ada sesuatu jalan yang digunakan secara meluas oleh orang ramai boleh dianggap semata-mata sebagai ‘jalan persendirian’ tanpa mengambil kira kepentingan awam yang telah wujud sekian lama.

Beliau berkata, pihaknya juga ingin mengetahui sama ada kutipan tol ini telah melalui semua proses kelulusan yang sewajarnya termasuk kelulusan kerajaan negeri, pewartaan yang berkaitan, penetapan kadar yang telus, serta mekanisme pemantauan dan audit terhadap hasil kutipan tersebut. 

“Rakyat berhak mengetahui asas perundangan yang membolehkan kutipan tersebut dilaksanakan,” tegasnya.

Selain itu, beliau menambah, jika pengguna dikenakan bayaran atas alasan kos penyelenggaraan dan keselamatan jalan maka timbul persoalan lanjut mengenai tahap perkhidmatan yang diberikan. 

“Adakah terdapat jaminan penyelenggaraan berkala, sistem bantuan kecemasan, kemudahan tunda percuma, perlindungan insurans pengguna, sistem amaran cuaca dan cerun, serta standard keselamatan yang setanding dengan lebuh raya bertol lain di negara ini?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya menggesa kerajaan negeri yang terlibat, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan serta pihak pengurusan Genting Highlands tampil memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat.

Jelasnya, penjelasan itu merangkumi status sebenar jalan tersebut, asas undang-undang kutipan tol, struktur kadar yang dikenakan serta tanggungjawab yang dipikul oleh pihak pengendali terhadap keselamatan dan kebajikan pengguna. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author