Terkini
Malaysia digesa hati-hati berdepan negara ASEAN dalam isu berkait AS-Israel, elak pecah-belah – Raja Bahrin
- Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah menegaskan, dalam situasi mencabar ini, kesatuan dan perpaduan sesama negara anggota ASEAN adalah kekuatan paling utama yang tidak boleh dikompromi.
- Beliau mengingatkan sebarang tindakan atau kenyataan Malaysia terhadap negara jiran yang mempunyai hubungan dengan pihak-pihak tertentu perlulah dilakukan dengan penuh kebijaksanaan bagi memastikan keutuhan blok serantau ini tetap terpelihara daripada sebarang usaha luar yang cuba memecahbelahkannya.
- “Kita mesti sedar bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Israel amat licik dalam menggunakan taktik pecah dan perintah atau divide and rule. Inilah usaha terancang mereka untuk cuba memecahbelahkan kesatuan kita di rantau ASEAN,” katanya.
KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengamalkan pendekatan diplomasi yang amat berhati-hati, ibarat ‘menarik rambut dalam tepung’ bagi mendepani dinamik geopolitik ASEAN yang semakin kompleks melibatkan pengaruh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Israel.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah menegaskan, dalam situasi mencabar ini, kesatuan dan perpaduan sesama negara anggota ASEAN adalah kekuatan paling utama yang tidak boleh dikompromi.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan atau kenyataan yang diambil oleh Malaysia terhadap negara jiran yang mempunyai hubungan dengan pihak-pihak tertentu perlulah dilakukan dengan penuh kebijaksanaan bagi memastikan keutuhan blok serantau ini tetap terpelihara daripada sebarang usaha luar yang cuba memecahbelahkannya.
“Kita mesti sedar bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Israel amat licik dalam menggunakan taktik pecah dan perintah atau divide and rule. Inilah usaha terancang mereka untuk cuba memecahbelahkan kesatuan kita di rantau ASEAN. Kita perlu berhati-hati kerana kekuatan utama ASEAN selama ini terletak pada perpaduan kita, dan pihak-pihak ini sedang berusaha keras untuk melemahkan semangat setiakawan tersebut demi kepentingan agenda mereka.
“Dalam mendepani isu kompleks seperti tuntutan di Laut China Selatan, terutamanya ketegangan antara China dan Filipina, kita perlu bertindak dengan penuh bijaksana bagi mengelakkan berlakunya perpecahan sesama rakan sekutu.
“Inilah yang sebenarnya dikehendaki oleh AS dan Israel untuk melihat ASEAN lemah, kerana apabila kita sepakat dengan satu suara, kedudukan kita sukar untuk digugat. Oleh itu, saya berpesan agar kita sentiasa berhemah dan mengambil pendekatan diplomatik yang lebih matang supaya kerjasama rapat yang terjalin selama ini tidak terjejas,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times, semalam.
Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, konflik di Asia Barat seolah-olah ‘menenggelamkan’ isu pokok di Palestin, yang mana berkemungkinan besar merupakan salah satu daripada projek strategik Israel untuk mengalih pandangan dunia daripada krisis di Gaza.
Raja Kamarul Bahrin menegaskan bahawa penjelasan daripada pimpinan Hamas, Dr. Basem Naim semalam, membuktikan bahawa ketiadaan gencatan senjata yang bermakna telah menyebabkan serangan terus berlaku di luar pengetahuan media antarabangsa.
“Peristiwa di Iran banyak menenggelamkan isu Gaza dan Tebing Barat. Ini mungkin salah satu projek Israel untuk mengalih pandangan daripada isu besar yang berpanjangan ini. Israel dilihat berjaya mengaburkan kekusutan di Gaza serta janji penyelenggaraan dan kesejahteraan penduduk yang tidak ditunaikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau menyeru agar isu Palestin dikembalikan ke pentas utama dunia dengan mendesak Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memfokuskan semula kepada perkara pokok, kerana konflik di Iran sendiri sebenarnya tercetus berikutan malapetaka yang tidak berkesudahan di Gaza. – The Merdeka Times