Terkini
Kes seleweng dana RM230 juta: Melibatkan urus tadbir dalaman NGO, bukan MAIPs – Mufti Perlis
- Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, sebaliknya, MAIPs mengagihkan dana zakat secara sah berdasarkan cadangan pembayar kepada NGO yang layak di bawah asnaf fisabilillah.
- Beliau menegaskan, MAIPs sentiasa menjalankan pemantauan melalui laporan perbelanjaan tahunan yang dikemukakan oleh NGO terlibat.
KUALA LUMPUR – Kes penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta melibatkan urus tadbir dalaman sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan membabitkan kepincangan pengurusan di pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, sebaliknya, MAIPs mengagihkan dana zakat secara sah berdasarkan cadangan pembayar kepada NGO yang layak di bawah asnaf fisabilillah.
Beliau menegaskan, MAIPs sentiasa menjalankan pemantauan melalui laporan perbelanjaan tahunan yang dikemukakan oleh NGO terlibat.
“Apabila seseorang itu layak menerima zakat… kita bagi dekat dia, walau kalau dia bagi dekat cucu dia pun kita tak ada question (persoal) sebab itu telah jadi milik dia kerana dia adalah penerima zakat.
“(Ibarat) Kita bagi kepada makcik itu kerana dia miskin, rupanya makcik tu bagi dekat cucu dia, bagi dekat cucu dia pergi beli rokok. Adakah itu menyebabkan kita boleh dituduh menyalahgunakan zakat?” soalnya ketika mengulas isu tersebut di laman Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu hari ini termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan petang semalam dalam operasi dijalankan sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Dalam pada itu, Mohd. Asri menambah, NGO tersebut mempunyai rangkaian yang besar dan menggalakkan ramai pembayar zakat ke Perlis.
“NGO yang dikaitkan dengan isu ini mempunyai rangkaian yang luas. Mereka mendekati pembayar zakat dan pembayar zakat ini kemudiannya membayar kepada MAIPs dengan meletakkan cadangan agar dana tersebut disalurkan kepada NGO berkenaan untuk tujuan pembangunan sekolah agama dan aktiviti dakwah.
“Bila NGO tu dapat balik duit tu… some amount (sebahagian jumlah) NGO itu bagi kepada kumpulan yang tolong buat ni, tolong admin (mentadbir) ini. Pada saya, layak tidak dapat kalau orang tu kerja? … Dia buat kerja tak? Soal dia ambil patutnya tidak timbul,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, pengurusan zakat tidak berada di bawah Pejabat Mufti dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan walaupun satu sen wang zakat.
Menurutnya, tugas Mufti adalah mengeluarkan fatwa dari sudut hukum syarak, manakala urus tadbir zakat adalah tanggungjawab penuh MAIPs.. – The Merdeka Times