Terkini
Adegan ‘panas’ teater IPTA cemar imej universiti, Jangan dinormalisasi – Mantan Menteri Agama
- Sebagai golongan berpendidikan di menara gading yang bakal menjadi barisan pemimpin masa hadapan, mahasiswa sepatutnya memiliki jati diri yang kukuh dan ilmu yang cukup untuk membezakan antara yang hak dengan yang batil.
- “Jika golongan belia ini sudah hilang adabnya dan mula menormalisasikan perkara-perkara yang sensitif dalam agama… menjadikannya seolah-olah satu kebiasaan atau permainan seperti dalam teater tersebut, ia sama sekali tidak mencerminkan identiti mereka sebagai mahasiswa,” tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menzahirkan tegurannya susulan kontroversi pementasan teater yang mengandungi adegan panas di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) baru-baru ini, dengan mengingatkan mahasiswa agar tidak menormalisasikan kelakuan yang menyentuh sensitiviti agama.
Beliau menegaskan, sebagai golongan berpendidikan di menara gading yang bakal menjadi barisan pemimpin masa hadapan, mahasiswa sepatutnya memiliki jati diri yang kukuh dan ilmu yang cukup untuk membezakan antara yang hak dengan yang batil.
“Jika golongan belia ini sudah hilang adabnya dan mula menormalisasikan perkara-perkara yang sensitif dalam agama… menjadikannya seolah-olah satu kebiasaan atau permainan seperti dalam teater tersebut, ia sama sekali tidak mencerminkan identiti mereka sebagai mahasiswa,” katanya kepada The Merdeka Times.
Baru-baru ini, tular video adegan tersebut di media sosial sehingga menyebabkan ramai pengguna media sosial mengecam tindakan tersebut dengan ada yang menganggapnya sebagai memalukan dan memburukkan nama serta imej Universiti Malaya (UM) sebagai sebuah universiti terkemuka.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im mengingatkan penganjur dan anak muda supaya menjadikan keluhuran akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai rujukan utama dalam kehidupan.
Beliau turut merujuk kepada kempen ‘Kalimah Tayyibah’ (perkataan dan perbuatan yang baik) berteraskan al-Quran yang pernah dipeloporinya ketika menerajui kementerian sebelum ini.
“Allah SWT memuji Rasulullah SAW kerana adab dan akhlak baginda. Apabila Saidatina Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak baginda, beliau menjawab bahawa akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.
“Oleh sebab itu, pembinaan adab ini sangat penting. Sebagaimana sabda Nabi SAW bahawa baginda tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak. Inilah nilai yang kita mahu terapkan dalam diri belia kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada anak-anak muda dan persatuan mahasiswa di kampus agar menggunakan medium kesenian dan teater sebagai platform pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saranan saya kepada pelajar dan anak-anak muda, jadilah pemimpin dan pedoman kepada rakan-rakan yang lain.
“Jika mahu berlakon atau mementaskan teater, biarlah naskhah tersebut mampu membentuk akhlak dan budi pekerti penonton. Hasilkanlah teater yang benar-benar membawa mesej yang positif demi melahirkan belia yang bermoral serta berintegriti tinggi,” serunya. – The Merdeka Times