Connect with us

Terkini

Dakwaan seksual Sumud tiada bukti, Malaysia tidak terlibat – CENTHRA

Published

on

Foto: Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin.
  • Pengerusi CENTHRA yang turut terlibat dalam jawatankuasa etika misi Sumud berkata pihaknya memandang serius setiap dakwaan yang timbul, namun proses siasatan dalaman mendapati tiada kerjasama lanjut daripada pihak yang menularkan tuduhan tersebut di media sosial.
  • “Kita ada mekanisme dan jawatankuasa etika yang jelas. Setiap dakwaan diteliti, tetapi apabila diminta bukti dan keterangan rasmi, tiada respon diberikan,” katanya dalam sesi temu bual bersama The Merdeka Times.
  • Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan yang tular itu merujuk kepada insiden lama dan bukan melibatkan pelaksanaan misi semasa.

KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menegaskan bahawa dakwaan salah laku seksual yang dikaitkan dengan Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) misi Sumud telah diteliti, namun tiada bukti rasmi dikemukakan oleh pihak yang membuat tuduhan.

Pengerusinya, Azril Mohd Amin, berkata pihaknya memandang serius setiap dakwaan yang timbul, namun proses siasatan dalaman mendapati tiada kerjasama lanjut daripada pihak yang menularkan tuduhan tersebut di media sosial.

Menurut beliau, individu terlibat tidak tampil mengemukakan bukti atau memberikan keterangan rasmi walaupun telah dipelawa berbuat demikian melalui saluran yang betul.

“Kita ada mekanisme dan jawatankuasa etika yang jelas. Setiap dakwaan diteliti, tetapi apabila diminta bukti dan keterangan rasmi, tiada respon diberikan,” katanya dalam sesi temu bual bersama The Merdeka Times.

Azril yang turut terlibat dalam jawatankuasa etika misi tersebut menjelaskan bahawa garis panduan serta kod tata kelakuan yang ketat telah ditetapkan bagi semua peserta Sumud, termasuk proses pemilihan dan latihan yang lebih rapi.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan yang tular itu merujuk kepada insiden lama dan bukan melibatkan pelaksanaan misi semasa.

“Perkara itu telah pun diselesaikan mengikut proses yang ditetapkan. Namun, apabila ia dibangkitkan semula di media sosial tanpa bukti, ia menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan usaha kemanusiaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azril memberi jaminan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam sebarang dakwaan salah laku yang dibangkitkan.

“Delegasi Malaysia menunjukkan disiplin yang baik dan sentiasa mematuhi kod etika yang ditetapkan. Setakat ini, tiada penglibatan rakyat Malaysia dalam dakwaan tersebut,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang tuduhan perlu disertakan bukti kukuh dan dikemukakan melalui saluran rasmi bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Dalam masa sama, Azril menegaskan bahawa kontroversi tersebut tidak seharusnya menjejaskan fokus utama misi Sumud, iaitu usaha kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin serta meningkatkan kesedaran global terhadap penderitaan mereka.

Katanya, pelbagai usaha termasuk diplomasi, perundangan dan kemanusiaan sedang digerakkan secara serentak, dan Sumud merupakan salah satu inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa.

“Jangan kerana satu dakwaan tanpa bukti, keseluruhan usaha kemanusiaan ini dipersoalkan. Kita perlu kekal fokus kepada matlamat utama membantu rakyat Palestin,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author