Terkini
Sejarah tercipta: Kerajaan peruntuk RM2.5 Juta untuk Wesak 2026
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menyokong penganjuran Sambutan Hari Wesak Kebangsaan 2026.
- “Semua rumah anutan Buddha, vihara, dan pusat komuniti yang merancang untuk menyambut Hari Wesak tahun ini boleh mengemukakan permohonan melalui Majlis Perundingan Buddha Malaysia (MBCC),” jelas beliau.
KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menyokong penganjuran Sambutan Hari Wesak Kebangsaan 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peruntukan ini dibuka untuk permohonan oleh organisasi Buddha di seluruh negara dengan sasaran sebanyak 1,000 organisasi.
“Semua rumah anutan Buddha, vihara, dan pusat komuniti yang merancang untuk menyambut Hari Wesak tahun ini boleh mengemukakan permohonan melalui Majlis Perundingan Buddha Malaysia (MBCC),” jelas beliau.
Menurut beliau, setiap organisasi yang berjaya dalam permohonan akan menerima bantuan sebanyak RM2,000, yang melibatkan jumlah keseluruhan RM2 juta.
Manakala baki RM500,000 lagi akan digunakan sebagai dana pengurusan bagi Sambutan Hari Wesak Kebangsaan.
Anthony berkata, Sambutan Hari Wesak Kebangsaan 2026 dianjurkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pengangkutan, dan MBCC.
“Hari Wesak sangat berkait rapat dengan ajaran Buddha. Sebagai penganut Buddha, kita dituntut untuk melakukan kebaikan, dan kebaikan ini bukan sahaja untuk penganut Buddha semata-mata, tetapi untuk semua orang.
“Inilah mesej penting yang ingin disampaikan oleh kerajaan melalui penglibatan dalam aktiviti ini,” katanya seperti dilaporkan hari ini.
Tambah beliau, kerajaan berharap agar aktiviti Hari Wesak yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi tidak terhad kepada penganut Buddha sahaja, sebaliknya mampu menjadi jambatan bagi memupuk persefahaman antara pelbagai kaum dalam masyarakat.- The Merdeka Times