Terkini
Langkah berani Afghanistan tamatkan riba, Negara Islam bakal ikut?
- Penganalisis ekonomi menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu bentuk reformasi dalam sistem kewangan global, khususnya dalam kalangan negara majoriti Muslim.
- Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata banyak negara dijangka akan mengikut jejak Afghanistan sekiranya alternatif perbankan tanpa riba itu terbukti mampu menyelamatkan kedudukan kewangan isi rumah serta memastikan kelangsungan perniagaan.
- Bagaimanapun bagi Ketua Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid, sistem kewangan dunia ketika ini masih didominasi oleh model berasaskan faedah, sekali gus menjadikan peralihan sepenuhnya kepada sistem bebas riba sebagai satu cabaran besar.
KUALA LUMPUR – Langkah Afghanistan menghentikan sepenuhnya sistem riba dalam semua bank komersial berpotensi membuka ruang lebih besar kepada negara-negara Islam lain untuk bergerak ke arah sistem kewangan Islam yang lebih tulen, di samping meninggalkan perbankan konvensional berasaskan faedah.
Penganalisis ekonomi menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu bentuk reformasi dalam sistem kewangan global, khususnya dalam kalangan negara majoriti Muslim.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata banyak negara dijangka akan mengikut jejak Afghanistan sekiranya alternatif perbankan tanpa riba itu terbukti mampu menyelamatkan kedudukan kewangan isi rumah serta memastikan kelangsungan perniagaan.
“Apabila banyak isi rumah dan perniagaan mampu diselamatkan kewangan mereka melalui alternatif perbankan ini, lebih banyak negara akan menyusul,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan Afghanistan ini merupakan satu langkah transformasi ekonomi paling berani dalam era moden.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata pelbagai alternatif pembiayaan boleh menggantikan sistem pinjaman konvensional, termasuk penggunaan qardhul hassan dan hibah bagi pinjaman peribadi.
Menurut beliau, pembiayaan kenderaan pula boleh digantikan dengan sistem langganan (subscription) atau sewa pajak jangka panjang (long-term leasing), manakala pembiayaan perumahan boleh menggunakan konsep musharakah mutanaqisah.
Bagi pembiayaan perniagaan, katanya, ia boleh dilaksanakan melalui model pendanaan awam berasaskan ekuiti.
“Jika kesemua alternatif pembiayaan ini disokong oleh kerajaan Afghanistan, bank akan fokus hanya kepada pelaburan semata-mata dan bukan lagi pembiayaan yang mengamalkan riba,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Ketua Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid, turut menyifatkan langkah Afghanistan tersebut sebagai satu reformasi dalam sistem kewangan.
Menurutnya, pelaksanaan sistem perbankan dwi (dual banking system) di Malaysia iaitu berasaskan faedah (interest-based) dan bebas faedah (interest-free) merupakan antara model paling berjaya di dunia.
Katanya, sistem bebas faedah bukan sahaja menyediakan alternatif kepada umat Islam, malah berupaya menawarkan kecekapan kos serta pulangan yang kompetitif.
“Pengenalan kontrak berasaskan risiko seperti musyarakah (perkongsian untung-rugi) dan wakalah menunjukkan keupayaan sistem ini untuk berfungsi melangkaui sekadar replikasi produk konvensional,” katanya.
Beliau menambah, sistem tersebut juga berupaya menyumbang kepada kestabilan ekonomi makro dengan menghubungkan sektor kewangan dan sektor sebenar ekonomi secara lebih bermakna.
“Sistem ini, yang juga dikenali sebagai perbankan Islam, menyandarkan setiap transaksi kewangan kepada aset fizikal atau perkhidmatan sebenar.
“Justeru, ia mampu mengurangkan risiko ‘gelembung ekonomi’ yang sering berpunca daripada penciptaan kredit tanpa sandaran aset dalam sistem konvensional,” jelasnya.
Bagaimanapun, Zakariah berkata sistem kewangan dunia ketika ini masih didominasi oleh model berasaskan faedah, sekali gus menjadikan peralihan sepenuhnya kepada sistem bebas riba sebagai satu cabaran besar.
Menurut beliau, Malaysia sebagai ekonomi terbuka masih perlu bergantung kepada perdagangan antarabangsa, justeru memerlukan mekanisme untuk berinteraksi dengan pelabur luar yang mungkin belum bersedia menerima model tanpa faedah.
Secara keseluruhannya, katanya, peralihan kepada sistem kewangan bebas faedah merupakan satu aspirasi yang mempunyai asas kukuh dari sudut kestabilan ekonomi.
“Namun, ia memerlukan koordinasi global serta inovasi dalam teknologi kewangan (FinTech) bagi memastikan Malaysia kekal relevan dalam rantaian bekalan kewangan antarabangsa,” katanya. – The Merdeka Times