Terkini
Terap naratif besar keunggulan tamadun Melayu dalam silibus IPT, sekolah – Dr. Ahmad Murad
- Sarjana daripada UIAM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, naratif-naratif besar itu termasuk melihat sejarah unggul tamadun Melayu daripada kaca mata persekitaran maritim berbanding sistem kebenuaan (continental) sepertimana diamalkan ketika ini.
- Beliau berkata, langkah ini penting dalam memupuk kesedaran di kalangan generasi muda agar mereka kembali menghargai kegemilangan sejarah tamadun Melayu dan serantau sebelum ini.
- “Malaysia merupakan sebuah negara dalam acuan maritim dalam tamadun dunia. Kita mesti menjanakan naratif-naratif besar yang telah memupuk identiti dan keunggulan kita, dengan pada masa sama, tidak menafikan tamadun-tamadun lain,” katanya.
KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti perlu menerapkan naratif-naratif besar membabitkan keunggulan tamadun Melayu pada suatu ketika dahulu ke dalam sukatan pendidikannya, kata seorang sarjana.
Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, naratif-naratif besar itu termasuk melihat sejarah unggul tamadun Melayu daripada kaca mata persekitaran maritim berbanding sistem kebenuaan (continental) seperti diamalkan ketika ini.
Beliau yang juga Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, langkah ini penting dalam memupuk kesedaran di kalangan generasi muda agar mereka kembali menghargai kegemilangan sejarah tamadun Melayu dan serantau sebelum ini.
“Malaysia merupakan sebuah negara dalam acuan maritim dalam tamadun dunia. Kita mesti menjanakan naratif-naratif besar yang telah memupuk identiti dan keunggulan kita, dengan pada masa sama, tidak menafikan tamadun-tamadun lain.
“Perspektif maritim mencorak bagaimana Melayu melihat dunia. Pengukuran sistem kebenuaan (continental) tidak dapat digunakan untuk mengkaji tamadun Melayu. Tamadun Melayu mesti dilihat sebagai persekitaran maritim melibatkan laut, pulau, sungai, kelautan dan sebagainya.
“Atas dasar inilah, istilah ‘tanah air’ membawa maksud yang sangat spesifik dan mendalam,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Murad pada sebuah majlis baru-baru ini menyatakan bahawa ketibaan penjelajah Portugis, Vasco da Gama pada tahun 1490-an dilihat sebagai detik yang merubah wajah rantau ini sepenuhnya.
Beliau berkata, peristiwa itu meruntuhkan sistem, budaya, dan tamadun dunia Lautan Hindi.
Jelas beliau, abad-abad seterusnya menyaksikan penyusunan semula secara sistematik terhadap rangkaian hubungan yang telah lama terjalin, yang dahulunya menghubungkan masyarakat di seluruh rantau ini.
Beliau berpendapat, perbincangan berhubung perkara itu perlu berlaku di pelbagai peringkat di peringkat akademik dan juga di peringkat awam, dengan pihak media memainkan peranannya.
Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, media dan persuratkhabaran Melayu, sebagai sebahagian daripada wacana popular, seharusnya memikul tanggungjawab besar dalam aspek mendidik, mencerdaskan pemikiran masyarakat serta memupuk hujah yang betul bagi memupuk kesedaran berkenaan.
“Media dan kewartawanan terutama media Melayu mesti ditanam dengan kesedaran tinggi dalam paparan mengenai sejarah. Wajar diwujudkan meja sejarah bagi menentukan naratif yang sesuai dan perspektif yang betul.
“Editor dan wartawan media Melayu mesti ada kesedaran yang tinggi, berupaya berhujah dan melihat cerita dan peristiwa bukan hanya sebagai cerita dan peristiwa, tetapi sebagai tradisi dan warisan,” katanya. – The Merdeka Times