Connect with us

Terkini

Marwan Barghouti dipukul, diserang anjing dalam penjara Israel

Published

on

Foto: Marwan Barghouti.
  • Peguam hak asasi manusia Israel, Ben Marmarelli, yang melawat Barghouti pada Ahad lalu, berkata beliau diseksa menggunakan pelbagai bentuk kekerasan termasuk dipukul sehingga mengalami kecederaan serius dan pendarahan di seluruh badan tanpa diberikan rawatan perubatan.
  • “Ini bukan insiden terpencil. Ia menunjukkan corak jelas penderaan yang semakin meningkat, termasuk keganasan, pengabaian perubatan dan layanan yang meletakkannya dalam risiko serius,” kata Marmarelli.
  • Barghouti merupakan tokoh kanan Fatah dan telah dipenjarakan sejak 2004 selepas ditahan oleh Israel berikutan peranannya dalam Intifada Kedua antara 2000 hingga 2005.

TEL AVIV – Pengawal penjara Israel didakwa melakukan serangan fizikal terhadap tahanan politik Palestin, Marwan Barghouti, sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan, menurut peguamnya.

Menurut kempen yang menuntut pembebasannya, insiden tersebut disifatkan sebagai serangan kejam dan berlaku ketika beliau ditempatkan dalam kurungan bersendirian di Penjara Megiddo dan Ramon di Israel.

Kempen itu mendakwa Barghouti diseksa menggunakan pelbagai bentuk kekerasan termasuk dipukul sehingga mengalami kecederaan serius dan pendarahan di seluruh badan tanpa diberikan rawatan perubatan.

Peguam hak asasi manusia Israel, Ben Marmarelli, yang melawat Barghouti pada Ahad lalu, menyifatkan keadaan itu sebagai amat membimbangkanndan menunjukkan corak penderaan yang semakin meningkat.

Menurut Marmarelli, pada 24 Mac lalu, pengawal penjara memasuki sel Barghouti bersama seekor anjing, memaksanya ke lantai sebelum melepaskan haiwan itu ke atasnya berulang kali.

Beliau turut mendakwa Barghouti diserang sekali lagi ketika dipindahkan dari Penjara Megiddo ke Penjara Ganot keesokan harinya, sebelum dipukul dengan teruk pada 8 April sehingga dibiarkan berdarah lebih dua jam tanpa rawatan.

“Ini bukan insiden terpencil. Ia menunjukkan corak jelas penderaan yang semakin meningkat, termasuk keganasan, pengabaian perubatan dan layanan yang meletakkannya dalam risiko serius,” kata Marmarelli.

Tambahnya, lawatan guaman terkini turut dijalankan dalam keadaan sukar apabila mereka terpaksa berkomunikasi dengan menjerit melalui kaca kerana telefon penjara tidak berfungsi.

Walaupun berdepan tekanan, Marmarelli berkata Barghouti masih berada dalam keadaan mental yang baik dan terus mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkaitan keluarga dan rakyat Palestin.

Barghouti merupakan tokoh kanan Fatah dan telah dipenjarakan sejak 2004 selepas ditahan oleh Israel berikutan peranannya dalam Intifada Kedua antara 2000 hingga 2005.

Beliau kini menjalani hukuman lima penjara seumur hidup serta tambahan 40 tahun selepas disabitkan kesalahan berkaitan serangan yang mengorbankan lima warga Israel, namun beliau enggan mempertahankan diri di mahkamah kerana tidak mengiktiraf legitimasi perbicaraan tersebut.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author