Terkini
PEMBELA sokong titah Sultan Kedah, gesa pihak berkuasa bertindak tegas
- Pengerusi PEMBELA berkata, titah Sultan Kedah merupakan satu peringatan jelas bahawa semua pihak wajib menghormati kedaulatan undang-undang serta peraturan tanpa pengecualian.
- “Dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, tiada sebarang pengecualian boleh diberikan kepada mana-mana pihak untuk bertindak di luar kerangka perundangan, termasuk dalam perkara melibatkan pembinaan rumah ibadat,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang mewakili gabungan 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang memandang serius isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah di atas tanah kerajaan mahupun persendirian.
Pengerusi PEMBELA, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, titah Baginda merupakan satu peringatan jelas bahawa semua pihak wajib menghormati kedaulatan undang-undang serta peraturan tanpa pengecualian.
“Saya menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.
“Dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, tiada sebarang pengecualian boleh diberikan kepada mana-mana pihak untuk bertindak di luar kerangka perundangan, termasuk dalam perkara melibatkan pembinaan rumah ibadat,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.
Sultan Kedah hari ini dilaporkan sebagai bertitah, Baginda memandang serius isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.
Baginda bertitah, setiap pelaksanaan dalam apa jua perkara hendaklah berlandaskan undang- undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Titah baginda, sebarang tindakan yang mengetepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
Zainul Rijal menegaskan bahawa kebebasan beragama yang dijamin, perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tertib, selaras dengan undang-undang tanah, perancangan serta garis panduan pihak berkuasa tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa setiap pembinaan perlu selaras dengan undang-undang tanah serta garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kegagalan mematuhi prosedur yang ditetapkan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, tambahnya, semua pihak diseru agar mengambil pendekatan berhemah dengan mendapatkan kelulusan sewajarnya serta mengutamakan dialog dan saluran sah dalam menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
“Walaupun begitu, berdialog tidak bermakna berkompromi. Yang salah tetap salah. Jangan pula dia untuk menggantikan tanah atau memberi pampasan. Dialog hanya untuk mengalihkan alat sembahan agar menjaga senstiviti agama,” katanya.
Zainul Rijal berkata, beliau menyokong penuh pendirian bahawa kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas dalam setiap pelaksanaan, demi menjamin ketenteraman awam dan keharmonian negeri.
Semua pihak perlu ikut undang-undang. Jika tidak ikut undang undang mereka boleh disifatkan sebagai pemceroboh.
“Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan perlu tegas melaksanakan undang undang. Jangan tunggu sehingga rakyat terpaksa melaksanakannya,” katanya. – The Merdeka Times