Terkini
Malaysia pengeluar minyak, tapi masih import – Pakar jelaskan realiti sebenar
- Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa kekeliruan ini timbul apabila rakyat melihat status Malaysia sebagai pengeksport tenaga tanpa memahami struktur sebenar ekosistem petroleum negara.
- “Kalau kita bercakap tentang pengeluaran tenaga, ada tiga kategori minyak mentah, minyak ditapis dan gas asli cecair (LNG). Status pengeksport bersih itu hanya terpakai kepada LNG dan minyak ditapis, tetapi untuk minyak mentah kita sebenarnya dalam keadaan defisit,” katanya dalam program Analisis Bersama Finaz Yunus.
KUALA LUMPUR – Persepsi bahawa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak seharusnya kebal daripada kenaikan harga bahan api sebenarnya tidak menggambarkan realiti sebenar industri tenaga negara, menurut pakar ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa kekeliruan ini timbul apabila rakyat melihat status Malaysia sebagai pengeksport tenaga tanpa memahami struktur sebenar ekosistem petroleum negara.
“Kalau kita bercakap tentang pengeluaran tenaga, ada tiga kategori minyak mentah, minyak ditapis dan gas asli cecair (LNG). Status pengeksport bersih itu hanya terpakai kepada LNG dan minyak ditapis, tetapi untuk minyak mentah kita sebenarnya dalam keadaan defisit,” katanya dalam program Analisis Bersama Finaz Yunus.
Menurut beliau, Malaysia telah menjadi pengimport bersih minyak mentah sejak beberapa tahun lalu, susulan penurunan pengeluaran domestik, sekali gus menjadikan negara terdedah kepada turun naik harga global.
“Pengeluaran minyak tempatan dah mula merosot… jadi kita perlu import. Bila import, kita akan terdedah kepada harga pasaran,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa penggunaan bahan api negara jauh mengatasi pengeluaran apabila Malaysia menggunakan kira-kira 800,000 tong sehari, berbanding pengeluaran sekitar 400,000 tong sehari, sekali gus mewujudkan jurang bekalan yang perlu ditampung melalui import.
Situasi ini, menurutnya, menjadi lebih kritikal apabila laluan strategik global seperti Selat Hormuz yang mengendalikan sebahagian besar bekalan minyak dunia terjejas akibat konflik geopolitik.
“Bila berlaku gangguan bekalan disebabkan perang… harga akan melonjak dan kesannya sampai ke negara kita,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kenaikan harga minyak bukan semata-mata berpunca daripada harga minyak mentah, tetapi turut dipengaruhi oleh peningkatan kos lain seperti operasi, pengangkutan dan insurans.
“Kos operasi, kos pengangkutan dan juga insurans… semuanya meningkat, jadi bila dicampur, itu yang menyebabkan harga menjadi mahal,” jelasnya.
Namun begitu, Dr. Afzanizam mengakui kegusaran rakyat adalah berasas, terutama apabila manfaat kekayaan sumber minyak tidak dirasai secara langsung dalam kehidupan seharian.
Beliau menjelaskan bahawa hasil petroleum negara sebenarnya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai mekanisme seperti subsidi bahan api, yang merangkumi petrol, diesel dan gas memasak.
“Subsidi bahan api ini besar… dan lebih 80 peratus daripada subsidi kerajaan tertumpu kepada sektor tenaga,” katanya.
Tambah beliau, walaupun subsidi membantu mengekalkan harga pada paras tertentu, ia juga memberi implikasi besar kepada kedudukan fiskal negara, sekali gus memerlukan keseimbangan antara perlindungan rakyat dan kestabilan ekonomi jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa faktor domestik seperti ketirisan dan salah urus juga tidak boleh diketepikan dalam menilai tekanan kos yang dihadapi rakyat.
“Perbezaan harga dengan negara jiran memberi peluang kepada aktiviti penyeludupan… itu juga satu bentuk ketirisan yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.
Dr. Afzanizam menegaskan bahawa dalam menghadapi ketidaktentuan global, rakyat perlu memahami realiti sebenar ekonomi negara dan tidak hanya bergantung kepada persepsi bahawa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak mampu mengelak sepenuhnya kesan krisis.
“Kerajaan boleh bantu sebahagian sahaja… selebihnya kita sebagai rakyat perlu menyesuaikan diri,” katanya.-The Merdeka Times