Terkini
Krisis minyak : Semakan semula Belanjawan 2026 bukti responsif, Bukan kelemahan – Pakar
- Penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob yang menyambut baik cadangan semakan semula berkenaan namun menegaskan langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.
- “Inilah masa terbaik untuk mempercepatkan reformasi subsidi kepada sistem yang lebih bersasar. Langkah ini perlu bagi mengurangkan ketirisan dan melindungi golongan rentan tanpa membebankan kedudukan kewangan negara,” tambah beliau.
KUALA LUMPUR – Semakan semula Belanjawan 2026 sekiranya ketidaktentuan harga minyak global berterusan bukanlah satu tanda kelemahan, sebaliknya ia adalah bukti pengurusan fiskal yang responsif terhadap realiti semasa.
Namun, kejayaannya bergantung sepenuhnya kepada disiplin kerajaan untuk mengelakkan dasar populisme jangka pendek dan sebaliknya fokus kepada kestabilan ekonomi bagi jangka panjang.
Demikian pandangan penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob yang menyambut baik cadangan semakan semula berkenaan namun menegaskan langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.
Beliau yang juga Profesor Madya di Fakulti Perakaunan, Perniagaan dan Ekonomi, i-CATS University College mengingatkan kerajaan agar tidak terperangkap dengan peningkatan hasil segera (windfall revenue).
“Lonjakan hasil daripada minyak bukan alasan untuk kerajaan menambah perbelanjaan secara besar-besaran. Sejarah menunjukkan bahawa ‘windfall revenue’ atau hasil durian runtuh ini mudah hilang apabila harga minyak kembali jatuh.
“Adalah lebih baik sekiranya lebihan hasil tersebut disalurkan ke dana simpanan, pengurangan hutang negara, atau pelaburan jangka panjang seperti pendidikan dan produktiviti,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau mengulas cadangan Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid dalam program Analisis Bersama Finaz Yunus yang melihat keperluan semakan semula belanjawan ekoran lonjakan harga minyak mentah mencecah AS$118 setong, berbanding andaian awal AS$60 hingga AS$65 setong.
Mengenai kesan kenaikan harga tersebut, Dr. Abu Sofian menjelaskan, terdapat dua kesan serentak yang perlu diimbangi.
Walaupun hasil kerajaan meningkat melalui Petronas, kos subsidi bahan api juga boleh melonjak sekiranya harga runcit rendah dikekalkan, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara.
“Inilah masa terbaik untuk mempercepatkan reformasi subsidi kepada sistem yang lebih bersasar. Langkah ini perlu bagi mengurangkan ketirisan dan melindungi golongan rentan tanpa membebankan kedudukan kewangan negara,” tambah beliau.
Selain itu, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kebergantungan ekonomi negara kepada sumber minyak yang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik dunia. Tegas beliau, kebergantungan yang terlalu tinggi akan menyebabkan perancangan fiskal menjadi tidak stabil selain risiko pertumbuhan ekonomi terjejas akibat inflasi global yang meningkat. — The Merdeka Times