Connect with us

Terkini

Rumah anutan bukan Islam tak perlu anjur Aidilfitri atas alasan keharmonian – Firdaus Wong

Published

on

Foto: Pendakwah Bebas, Firdaus Wong.
  • Firdaus Wong menegaskan bahawa keharmonian tidak seharusnya dijadikan alasan bagi rumah anutan agama lain menganjurkan sambutan Aidilfitri, sebaliknya ia dicapai melalui sikap saling menghormati hak beragama masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Beliau menggesa umat Islam dan institusi agama agar konsisten dengan prinsip akidah dengan tidak bersikap ‘terhegeh-hegeh’ menganjurkan perayaan agama lain yang mempunyai elemen syirik di premis Islam atas dasar dakwah.

KUALA LUMPUR – ‘Keharmonian’ tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mana-mana rumah anutan agama lain menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, kata pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

Menyifatkan penganjuran sambutan seumpama itu sebagai tidak perlu, beliau berkata, keharmonian akan tercapai apabila semua pihak menghormati hak satu sama lain untuk beragama dan meraikan perayaan masing-masing, sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan

“Tidak perlulah memberikan alasan atas perkataan ‘keharmonian’ untuk menganjurkannya. Where will all this leads us to (ke mana semua ini bawa kita)? Keharmonian bukan setakat tercapai bila pertubuhan agama lain menganjurkan perayaan keagamaan lain, serta tidak semestinya kita meraikan bersama setiap perayaan.

“Keharmonian akan tercapai bila kita saling menghormati hak satu sama lain untuk beragama dan meraikan perayaan masing-masing sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak melanggar undang-undang seperti mencuri tanah orang lain untuk membina rumah anutan,” katanya di laman Facebook hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan pihak masjid, surau atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam yang dilihat seolah-olah ‘terhegeh-hegeh’ menganjurkan perayaan lain yang mempunyai elemen syirik di perkarangan masjid atau dewan, dengan justifikasi dakwah.

“Jika pertubuhan dan rumah anutan tidak perlu menganjurkan perayaan keagamaan lain, bagaimana pula dengan masjid, surau dan NGO Islam yang terhegeh-hegeh menganjurkan perayaan agama lain yang mempunyai elemen syirik di perkarangan masjid atau dewan dengan justifikasi dakwah?

“Adakah institusi agama juga akan melarang masjid, surau dan NGO Islam menganjurkan program rumah terbuka perayaan lain selain Islam juga? Umat Islam perlu konsisten dengan prinsip, ” tegasnya.

Beliau menambah, umat Islam tidak boleh hanya melarang pertubuhan agama lain menganjurkan sambutan agama Islam tetapi pada masa sama mengizinkan pertubuhan Islam menganjurkan perayaan selain perayaan agama Islam. 

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dilaporkan telah mengarah sebuah persatuan tokong Cina untuk membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dirancang mereka, baru-baru ini.

Langkah itu dilaporkan diambil memandangkan sambutan Aidilfitri merupakan aktiviti keagamaan umat Islam yang tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Melalui surat bertarikh 31 Mac, Pengarah JHEAIPP yang dipetik MalayMail, Datuk Marzuki Hassan memaklumkan kepada Persatuan Thean Hock Keong di Butterworth bahawa mereka “tidak dibenarkan” untuk menganjurkan acara tersebut.

Keputusan JHEAIPP itu dilaporkan dibuat selepas menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang  berhubung majlis berkenaan. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author