Terkini
Tokong ada kalimah Allah di Melaka diroboh petang Ini
- Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata, operasi perobohan dijadualkan kira-kira jam 2.30 petang dan diketuai Adun Serkam, Zaidi Attan dengan pemantauan pihak PBT.
- Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini, pemilik tokong tersebut tidak mempunyai kaitan dengan ajaran sesat seperti yang tular di media sosial.
- “Namun Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan polis akan tetap menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
MELAKA – Pemilik sebuah tokong yang mempunyai kalimah Allah di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring, Serkam di Jasin akan merobohkan struktur itu petang ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata, operasi perobohan dijadualkan kira-kira jam 2.30 petang dan akan diketuai Adun Serkam, Zaidi Attan dengan pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Insya-Allah tokong itu akan dirobohkan segera oleh pemilik tanah petang ini,” katanya yang dilapor Berita Harian dan dipetik MalaysiaKini.
Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini, pemilik tokong tersebut tidak mempunyai kaitan dengan ajaran sesat seperti yang tular di media sosial.
“Namun Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan polis akan tetap menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Sebelum ini, pemeriksaan awal mendapati tempat pemujaan itu dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tulisan tersebut hanya dikesan malam tadi oleh sekumpulan pemancing. Penemuan itu dilaporkan Melaka Hari Ini.
Tempat pemujaan tersebut dibina di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, tidak jauh dari Merlimau.
Selain kalimah Allah, terdapat juga tulisan Bismillahirrahmanirrahim, yang kedua-duanya dalam bahasa Arab.
“Perkara sensitif seperti ini boleh mencetuskan kontroversi antara kaum serta agama.
“Saya telah meminta pihak polis membuat kawalan sementara menunggu tindakan lanjut,” kata Rahmad.
Beliau berkata, perbincangan juga telah diadakan bersama JAIM, polis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Siasatan mesti dibuat oleh Jaim dan polis untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana kita tidak mahu isu ini mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Saya mahu tuan tanah sendiri menyaksikan keadaan di kawasan tersebut sebelum sebarang tindakan diambil selain menyemak kemungkinan tanah itu dalam rizab pantai,” katanya. – The Merdeka Times