Terkini
Isu binaan kuil haram di Gua Charas: Tiada kenyataan terkini pejabat daerah
- Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa daerah berhubung isu pengosongan binaan kuil di Gua Charas, namun mereka memaklumkan akan menghubungi The Merdeka Times semula sekiranya terdapat perkembangan terbaharu.
- Baru-baru ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menuntut penjelasan pihak berkuasa berhubung status pengosongan kuil itu yang didakwa masih gagal dikuatkuasakan meskipun Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 telah dikeluarkan.
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kenyataan terkini dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan ketika ini berhubung status pengosongan binaan kuil di Gua Charas, Panching yang sebelum ini dilaporkan telah menerima notis amaran pencerobohan sejak Mei tahun lalu.
Pegawai yang dihubungi memaklumkan pihaknya akan menghubungi semula The Merdeka Times sekiranya terdapat sebarang kenyataan rasmi atau perkembangan terbaharu daripada pejabat tersebut.
Baru-baru ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menuntut penjelasan pihak berkuasa berhubung status pengosongan binaan kuil di Gua Charas, Panching yang didakwa masih gagal dikuatkuasakan meskipun Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 telah dikeluarkan.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan tindakan undang-undang yang konsisten, yang menurutnya boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif daripada rakyat terhadap pihak berkuasa.
“Persoalan saya, adakah notis amaran itu hanya notis kosong tanpa penguatkuasaan yang tegas? Adakah ada ahli politik masuk campur dan mahu ianya diputihkan? Adakah PBT didesak oleh sesiapa untuk memutihkan kuil yang dibina secara haram tersebut?”
“Kenapa setelah notis pengosongan diberikan pada 15 Mei 2025, program-program boleh diteruskan di kuil tersebut dan kenapa kawasan tersebut tidak diletakkan pita penghalang sesiapa dari menceroboh?,” soalnya dalam satu kenyataan di media sosial.
Menurut Firdaus, notis amaran telah diserahkan kepada wakil pihak pengurusan kuil berkenaan pada 15 Mei 2025 dan pengosongan mesti dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diserahkan. – The Merdeka Times