Connect with us

Terkini

Kerajaan teliti cadangan tangani kenaikan kos bahan binaan – Ahmad Maslan

Published

on

Foto: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
  • Kerajaan sedang meneliti cadangan bagi menangani kenaikan kos bahan binaan susulan krisis tenaga global sekarang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
  • Antara cadangan dikemukakan persatuan kontraktor ialah pelanjutan tempoh siap projek (EOT) yang terkesan, kawalan harga bahan binaan serta pemberian subsidi khas diesel bagi projek pembinaan tertentu.

KUCHING – Kerajaan Persekutuan sedang meneliti cadangan bagi menangani kenaikan kos bahan binaan susulan krisis tenaga global sekarang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan persatuan kontraktor minggu lepas bagi mendapatkan maklum balas mengenai situasi semasa dalam industri pembinaan terutamanya berkaitan kenaikan harga bahan binaan.

“Walaupun bekalan bahan binaan mencukupi namun peningkatan kos pengangkutan telah menyebabkan kenaikan harga bahan berkenaan.

“Kami mendengar semua pandangan mereka dan kami akan memperhalusi cadangan dikemukakan. Isu harga ini turut melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, antara cadangan dikemukakan persatuan kontraktor ialah pelanjutan tempoh siap projek (EOT) yang terkesan, kawalan harga bahan binaan serta pemberian subsidi khas diesel bagi projek pembinaan tertentu.

“Kami dimaklumkan kadar kenaikan harga ini pelbagai, ada persatuan kontraktor maklum dalam 30 peratus (peningkatan) ada juga 40 peratus tetapi kita akan lihat data rasmi dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk jumlah kenaikan sebenar nanti,” katanya. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author