Terkini
Tabiat vape: Kos rawatan tinggi, paru-paru berisiko ‘ditebuk’
- Penggunaan vape dikatakan membawa komplikasi kesihatan ngeri seperti paru-paru berair, sesak nafas, jangkitan batuk kering (TB) dan ketumbuhan pada paru-paru yang memerlukan prosedur menyakitkan seperti menebuk dada.
- Rawatan akibat komplikasi vape menelan kos sangat mahal (mencecah puluhan ribu ringgit), sehingga ada pesakit yang terpaksa berpindah ke hospital kerajaan kerana kos rawatan melebihi had perlindungan insurans.
KUALA LUMPUR – Trend penggunaan rokok elektronik atau vape kini bukan sekadar isu ketagihan, malah dikatakan mula mendedahkan pengguna kepada risiko komplikasi kesihatan serius yang memerlukan kos rawatan mencecah puluhan ribu ringgit.
Tular di platform media sosial Threads baru-baru ini, seorang pengguna dikenali sebagai Azim Zaim, berkongsi pengalaman ngeri apabila terpaksa dimasukkan ke hospital akibat masalah paru-paru berair yang dipercayai berpunca daripada tabiat menghisap vape.
Baliau berkata keadaan tersebut memaksanya melalui prosedur menyakitkan di mana bahagian dadanya perlu ditebuk bagi mengeluarkan cecair yang menutupi paru-paru.
“Mengikut kiraan masa masing-masing, akan ditahan wad dan ditebuk dada untuk buang air dekat paru-paru. Lepas itu, akan dapat ‘saguhati’ ketumbuhan dekat paru-paru sekali,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Beliau turut menceritakan penderitaan pada malam pertama rawatan yang menyebabkannya mengalami sesak nafas sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen.
Selain penderitaan fizikal, mangsa turut mendedahkan beban kewangan yang tinggi akibat kos perubatan.
Berdasarkan mesej yang dikongsi, kos rawatan awal mencecah RM18,023.06, melebihi had jaminan insurans sebanyak RM12,000.00.
Kekangan kewangan tersebut memaksa beliau dipindahkan ke hospital kerajaan bagi meneruskan baki rawatan.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi pelbagai daripada netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa.
Seorang pengguna, aayunsuparman, meluahkan kekecewaan terhadap segelintir pengguna vape yang enggan mendengar nasihat dengan alasan produk yang digunakan mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Penat dah nasihat tapi tak nak dengar, siap kata vape yang dihisap ada KKM jadi okay saja,” katanya.
Seorang lagi mangsa, cikz_rara, mendedahkan beliau bukan sahaja mengalami paru-paru berair, malah dijangkiti batuk kering (TB) yang memerlukan rutin pengambilan ubat-ubatan setiap hari dalam tempoh yang lama.
Sementara itu, pengguna dikenali sebagai to_the_moon_14 menekankan risiko kesihatan jangka panjang vape menyebabkan pesakit perlu menjalani pemeriksaan berkala di klinik pakar setiap dua bulan.
Beliau turut memetik amaran pakar perubatan yang menyatakan bahawa kesan sampingan vape boleh menjadi lebih buruk berbanding rokok konvensional. – The Merdeka Times.