Terkini
Punca lelaki maut ditetak dipercayai akibat perselisihan antara kumpulan
- Polis Perak mengesahkan bahawa kes seorang lelaki maut ditetak di Buntong berpunca daripada perselisihan antara kumpulan (gang dispute) dan menegaskan ia tiada kaitan dengan isu perkauman.
- Seorang suspek berusia 23 tahun telah direman selama seminggu untuk siasatan lanjut, manakala rakan-rakan mangsa yang tercedera kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital.
IPOH – Punca seorang lelaki yang maut ditetak di Buntong di sini dipercayai berpunca daripada perselisihan antara kumpulan, kata Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.
Beliau berkata siasatan awal mendapati insiden itu melibatkan konflik antara beberapa individu dalam kumpulan tertentu dan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.
“Berdasarkan siasatan awal, ia lebih kepada gang dispute atau pergaduhan kumpulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah Kontinjen Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Meru Raya, semalam.
Noor Hisam berkata seorang suspek berumur 23 tahun direman selama seminggu bagi membantu siasatan berkaitan insiden itu.
Beliau berkata polis kini menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Rakan-rakan mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital (Raja Permaisuri Bainun),” katanya. – BERNAMA