Connect with us

Terkini

Haiwan perosak, penyakit menular di kem pelarian Gaza

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Penduduk Gaza, Samer al-Khalidi, memberitahu pusat tersebut bahawa haiwan perosak bukan lagi sekadar gangguan kecil tetapi kini merupakan ancaman secara langsung kepada keselamatan keluarga, terutamanya kanak-kanak.
  • Beliau menyatakan bahawa haiwan-haiwan ini menyusup masuk ke tempat tidur dan kawasan penyimpanan makanan, merosakkan harta benda peribadi serta menyerang kanak-kanak sewaktu mereka sedang tidur.

GAZA – Menjelang musim panas, kem-kem pelarian di seluruh Genting Gaza kini dilanda isu kesihatan awam, dengan pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan serangga sehingga membawa ancaman harian kepada ribuan keluarga yang hilang tempat tinggal,

Pusat Media Palestin (PMC) pada Jumaat lalu melaporkan, krisis tersebut berpunca daripada pengumpulan sisa pepejal, keruntuhan sistem pengutipan sampah yang teratur serta limpahan air bertakung dan kumbahan mentah berhampiran khemah perlindungan. Keadaan yang disifatkan oleh pakar sebagai persekitaran pembiakan yang ideal bagi lalat, nyamuk, dan tikus.

Menurut PMC, tapak-tapak pelarian di seluruh Genting Gaza kini menjadi vektor penyakit terbuka tanpa sebarang langkah pencegahan berkesan yang dilaksanakan buat masa ini.

Penduduk Gaza, Samer al-Khalidi, memberitahu pusat tersebut bahawa haiwan perosak bukan lagi sekadar gangguan kecil tetapi kini merupakan ancaman secara langsung kepada keselamatan keluarga, terutamanya kanak-kanak.

Beliau menyatakan bahawa haiwan-haiwan ini menyusup masuk ke tempat tidur dan kawasan penyimpanan makanan, merosakkan harta benda peribadi serta menyerang kanak-kanak sewaktu mereka sedang tidur.

Seorang lagi penduduk, Layla Abu Awda berkata, ada keluarga yang berjaga malam demi melindungi anak-anak dan bekalan makanan. “Masalah ini bukan sekadar tikus, malah serangga yang menyebabkan gigitan yang menyakitkan dan penyakit kulit yang berterusan.”

Nader Hamdan, juga seorang penduduk, memberi amaran bahawa pencemaran sumber makanan dan air sedang menyebabkan penularan penyakit berjangkit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal dan bermain di persekitaran yang tercemar.

Dalam ketiadaan sumber bagi kawalan perosak profesional, penduduk yang kehilangan tempat tinggal terpaksa bergantung kepada perangkap manual, asap daripada pembakaran terbuka dan ubat-ubatan tradisional yang disifatkan oleh laporan tersebut sebagai tidak memadai berbanding skala serangan wabak perosak yang berlaku.

Seorang penduduk, Khaled Abu Shamala menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk campur tangan dengan membekalkan racun perosak dan alatan kawalan perosak yang berkesan, mengalihkan sisa sampah serta runtuhan dan menambah baik infrastruktur kumbahan.

Beliau menyatakan bahawa keadaan semasa ketika ini hanya memburukkan lagi penderitaan pelarian dan merupakan ancaman kepada kesihatan serta kehidupan mereka.

Sumber tempatan yang dipetik oleh PMC memaklumkan bahawa kempen kawalan perosak sedang disediakan untuk zon pelarian yang paling padat penduduknya, walaupun terdapat kekangan logistik yang besar untuk melaksanakannya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author