Connect with us

Terkini

Tiada PRU terdekat, Henti politik, fokus krisis – Penganalisis

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Dr. Ariff Aizuddin Azlan.
  • Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Dr. Ariff Aizuddin Azlan menegaskan, dalam keadaan dunia berdepan konflik geopolitik dan krisis tenaga, pendekatan berasaskan kestabilan dan kerjasama adalah kritikal bagi memastikan negara tidak terjejas.
  • “Ini bukan masa untuk bertempur secara politik. Semua pihak perlu bersabar dan memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta menangani kesan krisis global,” ujarnya.

KUALA LUMPUR — Ketiadaan pilihan raya dalam tempoh terdekat perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang untuk memperkukuh “kekuatan sosial” negara melalui penyatuan yang jitu antara aspek ekonomi dan politik.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan menegaskan, dalam keadaan dunia berdepan konflik geopolitik dan krisis tenaga, pendekatan berasaskan kestabilan dan kerjasama adalah kritikal bagi memastikan negara tidak terjejas.

Menurut beliau, pemimpin perlu sentiasa bersikap objektif dalam merangka dasar yang bersesuaian dengan konteks semasa, khususnya dengan mengambil kira implikasi peperangan dan ketidaktentuan bekalan tenaga global.

“Pemimpin perlu sentiasa bersikap objektif dalam menghasilkan dasar-dasar yang bersesuaian dengan konteks semasa. Ini memerlukan pelaksanaan dasar yang peka terhadap implikasi perang dan krisis tenaga yang sedang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya menyeru semua pihak agar bekerjasama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Dr. Ariff turut menegaskan bahawa situasi semasa bukan berkaitan pertarungan politik, sebaliknya memerlukan kesabaran semua pihak untuk memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran negara.

“Ini bukan masa untuk bertempur secara politik. Semua pihak perlu bersabar dan memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta menangani kesan krisis global,” ujarnya.

Mengulas peranan masyarakat dalam tempoh yang disifatkan sebagai “gencatan politik”, beliau berkata orang awam perlu memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar, namun pada masa sama kekal berfikiran kritis.

“Masyarakat perlu berfikiran kritis yang sihat bagi memastikan kerajaan mengolah fungsinya dengan baik dan merealisasikan tuntutan ekonomi rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa agensi kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sebaliknya perlu bertindak secara proaktif dalam melindungi kebajikan rakyat yang terkesan.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan secara terus sebagai langkah intervensi bagi memastikan rakyat tidak kehilangan kuasa beli dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Inisiatif seperti bantuan secara terus perlu dipertimbangkan agar orang ramai tidak kehilangan kuasa membeli di tengah tekanan krisis global ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa masa kini adalah untuk bekerja dan bukannya bertempur secara politik, sambil menyeru semua pihak menumpukan usaha ke arah pemulihan negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author