Terkini
Badan Peguam Malaysia bantah penahanan wartawan, Tegas media mesti bebas
- Dalam satu kenyataan media hari ini, Presidennya, Anand Raj, berkata pihaknya terkejut dengan tindakan terhadap wartawan Kalidas Subramaniom serta siasatan ke atas portal Malaysiakini dan wartawan kanan, B. Nantha Kumar.
- “Adalah tidak selaras dengan kedaulatan undang-undang apabila wartawan dan media dikenakan tindakan hanya kerana melaksanakan tugas mereka. Media sebagai kuasa keempat mesti bebas daripada rasa takut atau memihak, serta melaporkan secara adil pada setiap masa,” katanya.
KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menyuarakan kebimbangan serius susulan laporan penahanan seorang wartawan portal berita serta siasatan terhadap sebuah lagi organisasi media berhubung laporan berkaitan pekerja migran.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Presidennya, Anand Raj, berkata pihaknya terkejut dengan tindakan terhadap wartawan Kalidas Subramaniom serta siasatan ke atas portal Malaysiakini dan wartawan kanan, B. Nantha Kumar.
Menurutnya, tindakan menahan atau menyiasat wartawan atas kapasiti mereka menjalankan tugas adalah tidak selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Adalah tidak selaras dengan kedaulatan undang-undang apabila wartawan dan media dikenakan tindakan hanya kerana melaksanakan tugas mereka. Media sebagai kuasa keempat mesti bebas daripada rasa takut atau memihak, serta melaporkan secara adil pada setiap masa,” katanya.
Badan Peguam turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan hak untuk menyampaikan maklumat dijamin di bawah Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat serta Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR).
Sehubungan itu, badan tersebut mengulangi gesaan agar Malaysia meratifikasi ICCPR sebagai sebahagian daripada komitmen negara terhadap kebebasan asasi dan kedaulatan undang-undang.
Dalam masa sama, Badan Peguam menyatakan kebimbangan terhadap kedudukan Malaysia yang berada di tangga ke-88 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, yang disifatkan masih membimbangkan.
Organisasi Reporters Without Borders turut mengklasifikasikan landskap media Malaysia sebagai berada dalam situasi “bermasalah”.
Badan Peguam turut menggesa pihak berkuasa memastikan sebarang siasatan dijalankan mengikut undang-undang tanpa mengganggu tugas kewartawanan atau memberi tekanan kepada pengamal media.
“Media bebas adalah tunjang demokrasi dan prasyarat penting kepada kedaulatan undang-undang,” tegasnya.-The Merdeka Times