Terkini
Yayasan Kubra dakwa terima ancaman pencerobohan semula, cuba bangkitkan isu 3R – Peguam
- “Yayasan Kubra terima makluman daripada pihak Polis PDRM akan tindakan kumpulan individu yang merancang untuk melakukan pencerobohan semula kononnya untuk melakukan upacara anutan di tapak tanah milik Yayasan Kubra”. – Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff
- “Cubaan tindakan penceroboh untuk membangkitkan kekecohan, rusuhan atau kegemparan awam adalah kini terjumlah kepada kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
- “Jelas, penceroboh cuba bangkitkan isu 3R konon hendak lakukan upacara anutan di tapak tanah Yayasan Kubra,” katanya.
SHAH ALAM – Yayasan Kubra mendakwa menerima ancaman pencerobohan semula ke atas tanah miliknya oleh sekumpulan individu yang dikaitkan dengan penceroboh rumah anutan haram.
Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff, berkata pihaknya dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai rancangan kumpulan tersebut.
“Yayasan Kubra terima makluman daripada pihak Polis PDRM akan tindakan kumpulan individu yang merancang untuk melakukan pencerobohan semula kononnya untuk melakukan upacara anutan di tapak tanah milik Yayasan Kubra,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, tindakan tersebut berlaku selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mac 2026 mengenepikan dan membatalkan Perintah Majistret berhubung Aduan Pecah Keamanan yang difailkan pihak penceroboh.
“Cubaan tindakan penceroboh untuk membangkitkan kekecohan, rusuhan atau kegemparan awam adalah kini terjumlah kepada kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
“Jelas, penceroboh cuba bangkitkan isu 3R konon hendak lakukan upacara anutan di tapak tanah Yayasan Kubra,” katanya.
Sehubungan itu, Yayasan Kubra telah membuat laporan polis bagi memastikan kawalan keselamatan dipertingkatkan dan mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya perintah mahkamah terus tidak dipatuhi.
“Jika Perintah Mahkamah Tinggi juga tidak dihormati, Yayasan Kubra memohon perhatian dan tindakan segera pihak berkuasa dan kerajaan untuk menangkap dan menghumban penjenayah penceroboh yang jelas dan nyata ingin berterusan menceroboh tanah tuan tanah, Yayasan Kubra,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa struktur rumah anutan haram di kawasan tersebut telah pun runtuh sepenuhnya sebelum ini.
“Segala struktur rumah anutan haram atau kuil haram telah runtuh sepenuhnya pada 25 Februari 2026. Malah tiada sebarang berhala berada di tapak tanah Yayasan Kubra setelah pihak penceroboh kuil haram sendiri membawa keluar berhalanya,” katanya. – The Merdeka Times