Connect with us

Terkini

Dualisme pendidikan gagal, Sijil agama setaraf SPM perlu diwujudkan

Published

on

Foto: Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) Port Dickson, Rohidzir Rais
  • Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) Port Dickson, Rohidzir Rais menyifatkan kedudukan sekolah agama ketika ini seolah-olah “melukut di tepi gantang” apabila pencapaian pelajar tahfiz sering dinilai berdasarkan standard sistem arus perdana.
  • “Banyak negara umat Islam termasuk Malaysia masih terperangkap dalam dualisme pendidikan yang secara jelas memisahkan antara “ilmu agama” dan “ilmu dunia”.
  • “Dualisme ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang terpecah identitinya, tetapi juga menghasilkan dua kelompok yang sama-sama pincang: satu kelompok yang mendalam dalam agama tetapi terpinggir dalam bidang profesional, dan satu lagi yang cemerlang dalam akademik tetapi kosong daripada asas aqidah dan adab. Kedua-duanya adalah manifestasi kegagalan sistem, bukan kegagalan individu,” tegasnya.

KUALA LUMPUR – Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) Port Dickson, Rohidzir Rais menggesa kerajaan mempertimbangkan kewujudan sijil khas dalam bidang agama yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi mengiktiraf pendidikan Islam secara lebih adil dalam sistem pendidikan negara.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan kedudukan sekolah agama ketika ini seolah-olah “melukut di tepi gantang” apabila pencapaian pelajar tahfiz sering dinilai berdasarkan standard sistem arus perdana.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila pendidikan agama tidak diiktiraf sebagai satu disiplin yang berdiri sendiri, sebaliknya terpaksa bergantung kepada sistem sekular bagi mendapatkan pengiktirafan formal.

Beliau turut mempersoalkan naratif yang sering digunakan apabila pelajar tahfiz cemerlang dalam SPM, yang disifatkan sebagai “cemerlang dunia dan akhirat”, sedangkan menurutnya, ia mencerminkan kekeliruan dalam menentukan nilai sebenar pendidikan.

Katanya, masalah tersebut berpunca daripada dualisme pendidikan yang memisahkan antara ilmu agama dan ilmu dunia, sekali gus melahirkan generasi yang terpecah dari segi identiti dan keseimbangan ilmu.

“Banyak negara umat Islam termasuk Malaysia masih terperangkap dalam dualisme pendidikan yang secara jelas memisahkan antara “ilmu agama” dan “ilmu dunia”.

“Dualisme ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang terpecah identitinya, tetapi juga menghasilkan dua kelompok yang sama-sama pincang: satu kelompok yang mendalam dalam agama tetapi terpinggir dalam bidang profesional, dan satu lagi yang cemerlang dalam akademik tetapi kosong daripada asas aqidah dan adab. Kedua-duanya adalah manifestasi kegagalan sistem, bukan kegagalan individu,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau merujuk kepada model pendidikan di Iran yang menurutnya berjaya mengintegrasikan ilmu agama dengan sains moden, sehingga melahirkan generasi yang kukuh dari segi aqidah serta cemerlang dalam bidang profesional.

Pendekatan itu, katanya, selari dengan gagasan Islamisasi ilmu yang diketengahkan oleh tokoh seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang menekankan penyatuan ilmu dengan adab dan tauhid.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kebergantungan sekolah agama kepada SPM sebagai satu-satunya bentuk pengiktirafan menunjukkan kelemahan sistem nasional dalam mengiktiraf pendidikan Islam secara menyeluruh.

“Tanpa sistem pengiktirafan yang adil, pelajar agama akan terus berdepan dilema sama ada kekal dalam jalur agama tanpa pengiktirafan luas atau terpaksa menyesuaikan diri dengan sistem yang tidak mencerminkan identiti mereka,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa keadaan itu memaksa sekolah agama swasta membuat kompromi dengan menggabungkan silibus agama dan arus perdana secara tidak seimbang demi memastikan pelajar tidak terpinggir.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu sijil khas agama diwujudkan berasaskan epistemologi Islam, yang mampu menilai penguasaan ilmu seperti al-Quran, hadis, fiqh, bahasa Arab dan turath secara menyeluruh.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi mengangkat pendidikan Islam sebagai asas pembinaan tamadun, bukan sekadar pelengkap dalam sistem pendidikan sedia ada.

Beliau turut merujuk contoh negara seperti Indonesia dan institusi seperti Universiti Al-Azhar di Mesir yang berjaya membangunkan sistem pendidikan agama yang diiktiraf dan mempunyai laluan jelas ke bidang profesional.

Mengakhiri pandangannya, beliau menegaskan bahawa kegagalan mengiktiraf pendidikan Islam secara sewajarnya akan terus meletakkan sekolah agama di pinggiran sistem, bukan kerana kelemahan institusi tersebut, tetapi kerana kegagalan sistem itu sendiri.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author