Terkini
Kerajaan tak naikkan harga minyak sepantas ini jika ada timbang rasa – A Kadir
- Menurut wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, sekiranya kerajaan benar-benar bertimbang rasa, kedudukan kewangan negara kukuh dan perancang ekonomi berfungsi dengan baik, kenaikan harga minyak tidak akan berlaku secara drastik dan pantas seperti yang disaksikan ketika ini.
- “Dalam masa sebulan, daripada permulaan perang pada 28 Februari lalu, harga RON97 naik 63 peratus, RON95 tanpa subsidi 49 peratus dan diesel 81 peratus menjadikan harga di Malaysia antara yang paling mahal di rantau Asean. Hal ini tidak pernah berlaku dalam Sejarah,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa gagal bertindak secara berhemah apabila membenarkan kenaikan mendadak harga bahan api, meskipun rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan benar-benar bertimbang rasa, kedudukan kewangan negara kukuh dan perancang ekonomi berfungsi dengan baik, kenaikan harga minyak tidak akan berlaku secara drastik dan pantas seperti yang disaksikan ketika ini.
“Dalam masa sebulan, daripada permulaan perang pada 28 Februari lalu, harga RON97 naik 63 peratus, RON95 tanpa subsidi 49 peratus dan diesel 81 peratus menjadikan harga di Malaysia antara yang paling mahal di rantau Asean. Hal ini tidak pernah berlaku dalam Sejarah,” tegas beliau.
Dalam hantaran di Facebook, beliau turut mengemukakan tiga kemungkinan utama yang menjadi punca keadaan tersebut, termasuk dakwaan kerajaan tidak peka terhadap kesusahan rakyat, berdepan kekangan kewangan atau mengambil pendekatan pasaran bebas sebagai jalan pintas.
Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan dasar Kerajaan Madani yang terus mengurangkan subsidi, dengan peruntukan menurun daripada RM71 bilion pada 2023 kepada RM52.76 bilion pada tahun berikutnya.
Menurutnya, pengurangan itu diteruskan tahun ini dengan penurunan sebanyak 14.1 peratus kepada RM49 bilion sebagai sebahagian usaha mengurangkan defisit fiskal negara.
“Atas initiatifnya mengurangkan defisit belanjawan dan hutang melalui pemotongan subsidi, Kerajaan Madani telah mendapat sanjungan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) tetapi rakyat jelata semakin menderita,” ujar beliau.
Tambahnya, kerajaan juga didakwa berdepan cabaran kutipan hasil yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara termasuk gaji penjawat awam, pencen dan bayaran hutang.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan terpaksa meningkatkan pinjaman melalui instrumen kewangan seperti bon dan sukuk, dengan anggaran pinjaman kasar mencecah RM191.3 bilion tahun ini.
Beliau turut mendakwa jumlah hutang kerajaan meningkat daripada RM1.08 trilion pada 2022 kepada sekitar RM1.3 trilion pada awal tahun ini.
Menurutnya, sebahagian besar pembiayaan tersebut sebenarnya datang daripada simpanan rakyat melalui institusi seperti KWSP, Tabung Haji dan PNB, sekali gus menjadikan rakyat sebagai penyumbang utama kepada pembiayaan negara.
Mengakhiri kenyataannya, beliau merujuk kepada kenyataan Anthony Loke Siew Fook yang dilaporkan menyifatkan kerajaan kini berada dalam “crisis mode”, sekali gus menguatkan persoalan terhadap kedudukan sebenar kewangan negara.-The Merdeka Times