Terkini
‘Malaysia dalam mod krisis, rakyat digesa jimat bahan api. Ini perkara sangat serius’ – Loke
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara telah diberikan taklimat mengenai situasi semasa yang kian meruncing, dengan peningkatan kos tenaga melebihi 100 peratus sepanjang bulan lalu, sekali gus menunjukkan tahap keseriusan keadaan.
- “Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya.
- Menurut beliau, lonjakan kos tenaga itu telah memberi kesan kepada pelbagai sektor industri, malah beberapa negara jiran turut berdepan tekanan bekalan.
SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan Malaysia kini beroperasi dalam mod krisis susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara telah diberikan taklimat mengenai situasi semasa yang kian meruncing, dengan peningkatan kos tenaga melebihi 100 peratus sepanjang bulan lalu, sekali gus menunjukkan tahap keseriusan keadaan.
“Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya ketika berucap pada majlis pembiayaan sekolah untuk SMKJ Chan Wa, di sini, hari ini yang dipetik Berita Harian.
Menurut beliau, lonjakan kos tenaga itu telah memberi kesan kepada pelbagai sektor industri, malah beberapa negara jiran turut berdepan tekanan bekalan.
“Beberapa negara sudah berada dalam mod kecemasan. Sebagai contoh, Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga.
“Negara berhampiran kita seperti Thailand dan Vietnam juga sudah berdepan kekurangan bekalan, dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan bahan api.
“Syukurlah keadaan ini belum berlaku di negara kita. Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana lambat laun, kita akan merasai kesannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa walaupun impak penuh masih belum dirasai di Malaysia, rakyat perlu segera mengamalkan langkah penjimatan bahan api bagi mengurangkan risiko gangguan sekiranya konflik berpanjangan.
“Kita tidak boleh membazir sumber. Sumber tidak terhad dan boleh habis.
“Contohnya dalam pengangkutan, kita perlu menggalakkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih efisien. Rakyat Malaysia cenderung bergantung kepada pemanduan kerana petrol disubsidi.
“Tetapi kita mesti mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dan menjadi lebih efisien. Jika ada pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam, sila gunakannya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru pihak majikan supaya memainkan peranan dengan menggalakkan amalan penjimatan tenaga dalam kalangan pekerja.
“Majikan perlu menggalakkan pekerja berkongsi kenderaan. Ini langkah mudah yang boleh kita ambil sebagai komuniti dan individu.
“Jika kita tidak mula melakukannya sekarang, kita akan berdepan risiko lebih besar pada masa hadapan sebagai sebuah negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun bekalan bahan api negara masih stabil ketika ini, ketidaktentuan dijangka berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Malaysia ialah negara pengeluar minyak, tetapi kita masih bergantung kepada bekalan global. Fokus kerajaan sekarang adalah untuk memastikan bekalan bahan api dapat dikekalkan.
“Bekalan semasa kita dijangka tidak terganggu sehingga Mei. Tetapi jika perang berlanjutan, kita tidak dapat menjamin bekalan tidak akan terjejas. Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh kita semua,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan gaya hidup lestari dalam kalangan rakyat, termasuk mengurangkan pembaziran makanan.
“Kita kini mempunyai bekalan ayam dan telur yang mencukupi. Jadi dari segi sumber protein, kita boleh mengambil lebih banyak ayam dan telur.
“Pembaziran makanan adalah isu besar di negara ini. Kita membuang bertan-tan makanan setiap hari.
“Ini bukan sahaja membazir kos makanan, tetapi juga kos pengurusan sisa. Ia adalah pembaziran berganda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kenyataan tersebut bukan bertujuan menimbulkan kebimbangan, sebaliknya sebagai peringatan kepada rakyat agar lebih bersedia.
“Pada masa sama, kita mesti terus melakukan perkara baik. Kita perlu memelihara keamanan dan keharmonian, serta mengekalkan sikap positif sambil memperbaiki diri dan mengubah tabiat,” katanya. – The Merdeka Times